Presiden dan CEO Toyota North America, Ted Ogawa, berkata model pikap berasaskan RAV4 merupakan satu “peluang besar” untuk Toyota, selain mengakui para pengedar jenama itu memang menunggu kehadiran model sedemikian.
Menurut beliau, permintaan terhadap pikap kompak semakin meningkat walaupun segmen tersebut masih kecil berbanding trak saiz sederhana dan besar.
“Kami melihat pikap berasaskan RAV4 sebagai satu peluang untuk kami, dan para pengedar juga sedang menunggunya. Mungkin mereka mahukannya hari ini atau esok, tetapi semuanya memerlukan masa,” katanya dalam temu bual bersama Automotive News.
Toyota Sudah Lama Dikaitkan Dengan Pikap Kompak
Sejak Ford Maverick diperkenalkan pada tahun 2021, ramai peminat automotif tertanya-tanya bila Toyota akan menghasilkan pesaing dalam segmen sama.
Sebelum ini, Toyota beberapa kali memberi bayangan bahawa mereka sedang menilai potensi untuk membangunkan sebuah pikap kompak moden, namun syarikat itu masih menunggu “masa yang tepat” sebelum melancarkannya secara rasmi.
Malah beberapa bulan lalu, Ketua Operasi Toyota North America, Mark Templin, turut meminta pengguna supaya “bersabar” kerana syarikat masih meneliti perkembangan pasaran.
Berpotensi Guna Asas Toyota RAV4
Laporan terbaharu ini memberi petunjuk bahawa Toyota mungkin menggunakan platform TNGA-C yang turut digunakan oleh Toyota RAV4.

Langkah itu dilihat lebih logik berbanding menggunakan platform Corolla seperti khabar angin terdahulu.
Toyota RAV4 sendiri mampu menunda sehingga 3,500 paun, tidak jauh berbeza dengan Ford Maverick yang mempunyai kapasiti maksimum sekitar 4,000 paun.
Jika benar direalisasikan, pikap baharu Toyota itu dijangka lebih besar dan lebih praktikal berbanding jangkaan awal ramai pihak.
Ford Maverick Kini Dominasi Segmen
Ketika ini, Ford Maverick merupakan model paling laris dalam kategori pikap kompak di Amerika Syarikat.
Ford berjaya menjual sebanyak 155,051 unit Maverick sepanjang tahun 2025, meningkat 18.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Hyundai Santa Cruz yang menjadi satu lagi pesaing utama dalam segmen tersebut dilaporkan bakal digantikan dengan model baharu yang lebih besar dan lebih konvensional.
Fokus Kepada Praktikaliti Harian
Walaupun ramai peminat berharap Toyota menghasilkan pikap kompak yang agresif dan lasak seperti Tacoma mini, model berasaskan RAV4 ini dijangka lebih memfokuskan kepada penggunaan harian.
Ia berpotensi menjadi pilihan pengguna yang mahukan ruang kargo dan praktikaliti sebuah trak tanpa perlu membeli pikap bersaiz penuh yang lebih mahal dan besar.