
Masih belum diterima secara meluas, Mirai dijual di Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa negara terpilih di Eropah.
Seperti kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik sel bahan api memerlukan stesen khas untuk mengisi hidrogen ke dalam tangki kenderaan.
Secara ringkas, hidrogen di dalam tangki kenderaan disalurkan kepada sel bahan bakar untuk diproses dan mencetuskan elemen lain bagi menjana tenaga kepada motor elektrik.
Proses itu juga memerlukan oksigen dan menariknya mengeluarkan air dari ekzos.

Terbaru Toyota memaklumkan syarikat telah berjaya memohon dana Advanced Propulsion Centre (APC) dari kerajaan United Kingdom (UK).
APC memainkan peranan penting di dalam industri automotif UK dan menawarkan peluang untuk merapatkan jurang di antara industri dan keperluan teknologi masa depan.
Dana itu khusus untuk bahagian lanjutan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membawa bukti konsep (Poc) ke peringkat kenderaan prototaip.
Konsortium yang diketuai oleh Toyota Motor Manufacturing (UK) Ltd. (TMUK) akan menerima dana bagi menampung pembangunan Hilux dengan janaan sel bahan api.

Turut terlibat di dalam projek ini ialah pakar seperti Ricardo, ETL, D2H dan Thatcham Research.
Sasaran projek ini ialah untuk pikap Hilux menggunakan komponen sel bahan api generasi kedua Toyota seperti yang digunakan di dalam Mirai.
Selain firma yang dinyatakan, projek ini juga melibatkan kakitangan bahagian R&D Toyota Motor Eropah (TME) dengan menyediakan sokongan teknikal mahir.
Sokongan tersebut membolehkan kakitangan projek membina kepakaran dan kemampuan untuk membangunkan rangkaian pemacu hidrogen generasi baru.

Prototaip awal kenderaan akan dikeluarkan di kilang TMUK di Burnaston pada tahun 2023.
Selepas projek ini berjaya, sasaran seterusnya ialah untuk mengeluarkan sejumlah kecil kenderaan produksi.
Toyota mempunyai pelbagai teknologi kenderaan elektrifikasi dan sudah terbukti di jalan raya.
Model hibrid elektik, hibrid elektrik plug-in, bateri elektrik dan sel bahan api elektrik keluaran Toyota sudah ditawarkan kepada umum.
Penulis: Muhammad Md Tajudin