Bagi jenama gergasi seperti Toyota, sehingga kini mereka dilihat masih memperlahankan rentaknya untuk turut bersaing dalam penghasilan kenderaan sifar emisi tersebut.
Walaupun tidak memfokuskan penghasilan EV, Toyota tetap dalam usaha ke arah alternatif jangka masa panjang yang dilihat lebih baik iaitu hibrid dan hidrogen.

Bagaimanapun, penghasilkan EV dalam barisan pengeluaran Toyota masih diteruskan dengan pengumuman kehadiran coupe crossover elektrik serba baharu yang akan didedahkan pada 11 Mac ini.
Melalui imej acah terbaru yang dikeluarkan, kelihatan jelas bentuk bumbungnya serta beberapa perincian lain dan dari apa yang dipaparkan, ia kelihatan serupa dengan model konsep bZ Compact SUV 2022.
Model tersebut sebelum ini digambarkan sebagai sebuah SUV elektrik yang lebih kecil dan berorientasikan reka bentuk, dengan bumbung yang meruncing untuk diletakkan di bawah bZ4X dalam barisan model Toyota.

Dalam kenyataan rasmi Toyota, model tersebut akan menjadi EV "serba baharu," yang berkemungkinan besar bermaksud ia tidak mempunyai pendahulu dan bukannya sekadar versi baharu bagi model sedia ada.
Toyota turut menekankan bahawa model ini menawarkan "dinamik pemanduan yang dipertingkatkan dan ruang dalaman yang mengejutkan," sambil menjanjikan daya tarikan emosi yang kuat.
Reka bentuk konsep bZ Compact SUV kelihatan lebih menarik berbanding bZ4X dengan penampilan unik yang menjadi salah satu sebab mengapa sesetengah pembeli kurang berminat.

Model konsep bZ Compact SUV menyerupai versi yang lebih besar dan lebih bergaya daripada Toyota C-HR generasi baharu, dengan pemegang pintu belakang tersembunyi serta susunan lampu belakang yang berani dengan bar lampu penuh.
Bahagian hadapan pula menampilkan gaya tipikal keluarga Toyota tetapi lebih mirip kepada C-HR yang sporty berbanding bZ4X.

Toyota juga dikatakan akan meninggalkan strategi penamaan bZ, dan bZ4X juga mungkin diberikan nama baharu apabila ia menerima pembaharuan.
Buat masa ini, belum jelas di mana Toyota merancang untuk memasarkan model baharu tersebut, namun ia akan dihasilkan oleh pusat reka bentuk Toyota di Perancis, yang mungkin menunjukkan ia adalah model eksklusif untuk pasaran Eropah.