Toyota Avanza 2019 - Askar gerila dengan sut moden

oleh SALINA JALIL|
Toyota Avanza bukan satu nama yang baharu.

Ketika mula diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 2004, ia mengungguli carta jualan kenderaan Malaysia selama beberapa bulan.

Malah, pembeli terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk memiliki Avanza kerana tidak pernah seumur hidup mereka dapat membeli sebuah MPV dari jenama Toyota pada harga serendah RM56,000!

Untuk mengenali Toyota Avanza yang baharu ini, kami huraikan terlebih dahulu tentang latar belakang asal usul mini MPV ini. Di Indonesia dan China, selain dari nama Avanza, ia juga dikenali sebagai Daihatsu Xenia.


Ia juga direka bentuk dan dikeluarkan untuk pasaran Malaysia tetapi dipasang di Indonesia di bawah penyeliaan Toyota.



MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Kali pertama Avanza ini dilancarkan adalah pada tahun 2003 di Ekspo Auto Gaikindo dan telah pun mencapai angka jualan melebihi 100,000 unit pada tahun 2004. Yang paling menarik, selama 14 tahun, Avanza telah berjaya menjadi 'best-selling car' di Indonesia.

 

Salah satu fakta yang menarik juga adalah sejak Avanza dilahirkan pada tahun 2004 dan sehingga hujung tahun 2018 sebanyak 1.8 juta unit telah terjual di Indonesia sahaja! 

 

Tetapi nama Avanza tersebut bukan berasal dari bahasa Indonesia ya kerana ia adalah perkataan Itali, 'avanzato' yang membawa maksud sebagai "maju"!

 

 

Di Malaysia pula, sejak Toyota Avanza generasi pertama ini di pasarkan di sini dari tahun 2004, ia merupakan mini MPV yang ‘terpanas’.

 

Avanza generasi pertama itu telah menerima tempahan sebanyak 5,000 unit  dalam masa dua minggu selepas pelancarannya.

 

Pada ketika itu tempoh penghantaran Toyota Avanza adalah sekitar 6 bulan dan warga Malaysia sanggup menunggu sebegitu lama.

 

Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama dan model ini sangat tinggi. Kerana itu juga, Avanza generasi pertama tersebut telah berjaya mengecapi kejayaan dengan berada di tangga pertama sebagai kenderaan yang terlaris di Malaysia!
 

 

 

Generasi kedua, Toyota Avanza ini telah dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei tahun ini.  Ia juga ditawarkan dalam tiga varian iaitu; E, S dan S+ dengan harga jualan yang bermula RM80,888.

 

Lebih menarik, Toyota Avanza terbaharu ini telah menampilkan rekabentuk yang kelihatan lebih  premium ala-ala mini Vellfire berbanding dari generasi pertama, dengan lampu depan Bi-LED selain gril ditarik hingga ke hujung.

 

Pelbagai penambahbaikan telah diberikan kepada generasi kedua ini dan kami huraikan di sini termasuk sesi pandu uji yang telah memberikan kami kejutan! Walaubagaimana pun terdapat beberapa kekurangan pada mini MPV tujuh tempat duduk ini di mana kami mengharapkan penambaikan pada masa akan datang.

 

 

Reka bentuk dan bahagian luar


Sememangnya sekilas pandang, ia telah diberikan wajah yang baru, nampak lebih garang, sporti dan agresif. Grill hadapan yang serba hitam serta lebih lebar dari model yang terdahulu memberikan impak yang ketara. Dalam bahasa yang mudah difahami, ia nampak lebih 'jantan' dan 'solid'untuk segmen mini MPV. 

 

Jangan salah faham dan jangan bandingkan dengan abangnya iaitu Vellfire atau Alphard kerana kedua-dua model tersebut berada dalam kategori MPV mewah. Tetapi sekiranya dibandingkan dengan rakan yang seangkataan dengannya seperti Livina mahupun Alza, Avanza ini nampak lebih segak dan tegap dengan kemasan-kemasan krom yang menjadikan ia lebih 'trendy' dan mengikuti peredaran semasa!

 

Dari segi perbandingan saiz badan Avanza ini dan yang terdahulu, dua perkara yang berbeza, iaitu panjang badan Avanza generasi kedua ini adalah 4200mm tetapi model generasi pertama cuma 4120mm. Begitu juga kelebaran Avanza ini adalah 1660mm berbanding dahulu cuma 1630mm.

 

 

Penampilan lampu 'bertingkat' seperti ala-ala Vellfire ini di bahagian lampu hadapan dari jenis Bi-LED ini juga telah mendapat perhatian dari para netizen yang menggelar Avanza ini "Baby Vellfire".

 

Kami juga amat hargai lampu hadapan dari jenis LED ini kerana ia memberi pancaran sinar penglihatan yang lebih jelas pada waktu malam, terutama kepada kami yang rabun malam ini! Selain itu, ia juga tahan lama dan menjimatkan penggunaan tenaga bateri kereta itu sendiri!


Spoiler belakang dengan lampu brek bersepadu tinggi pula dapat memastikan hentian anda kelihatan dari jauh.
Cermin sisi dengan lampu isyarat yang jelas kelihatan akan memudahkan anda memberi isyarat kepada pemandu lain apabila ingin mengubah haluan.

 

Sekiranya 15 tahun lalu, antena yang panjang lebih 'happening', tetapi di zaman generasi Y ini lebih afdal diberikan antena jenis ‘shark fin’ dan Avanza terbaharu ini mengikuti 'trend' ini! 

 

 

Percaya atau tidak tetapi sekiranya anda memandu Avanza ini sewaktu hujan, sistem pengelap cermin yang sensitif kepada kelajuan akan bertindak secara automatik! Bukan itu sahaja, tetapi pengelap cermin belakang juga akan berfungsi secara automatik sebaik sahaja gear mengundur dimasukkan.

Husss semangat, terkejut dibuatnya kerana  sebuah 'entry level' Mini MPV turut diberikan kemudahan sebegitu rupa!

 

Pada pandangan mata kami, reka bentuk rim yang diberikan kepada Avanza ini menarik tetapi rim aloi ini cuma bersaiz 15inci sahaja, pasti lebih gagah sekiranya diberikan saiz yang lebih besar sedikit.


 

 

Apa yang terdapat dalam hud Avanza?

 

Jika sebelum ini Toyota Avanza ditawarkan dalam empat varian iaitu Avanza 1.5S, 1.5G, 1.5E (transmisi auto), dan Avanza 1.3E dengan transmisi manual. Tetapi kini cuma terdapat tiga varian sahaja iaitu varian 1.5E, 1.5S dan 1.5S+ dan kesemuanya automatik dan didatangkan dengan satu sahaja pilihan enjin, 4-silinder sebaris, 16 injap DOHC Dual VVT-i. 

 

Enjin Dual VVT-i sememangnya telah digunakan dalam model Avanza sebelum ini, dan ia mampu menghasilkan sehingga 105 hp dan 136 Nm tork dengan empat transmisi kelajuan.

 

Kenapa masih mengekalkan enjin yang sama? Kerana ia praktikal, mudah diselenggara dan masih relevant, jadi kenapa tidak?


Unit yang diberikan kepada kami untuk sesi pandu uji kali ini adalah 1.5S+ iaitu varian tertinggi yang berharga RM87,888 tanpa insurans.
 

 

 

Bahagian Dalaman Kabin 


Bahagian dalaman kabin Avanza kini nampak lebih menarik, papan dashboard atau papan pemuka dengan dua tona warna ini walaupun ia dari jenis plastik tetapi tidak lah nampak ia murahan seperti model sebelum ini. 


Bahagian tempat duduk pula walaupun dari jenis fabrik tetapi material yang digunakan juga kelihatan mahal. 

 

seat


Paparan skrin yang dilengkapi dengan ciri Apple CarPlay (untuk 1.5S+ sahaja, tetapi boleh di upgrade untuk 1.5E) dan Android Auto ini amat dihargai kerana ia mempermudahkan urusan ke aplikasi-aplikasi telefon pintar ke papan pemuka kenderaan. 

 

Avanza ini juga didatangkan dengan tiga USB port disediakan untuk mengecas telefon bimbit. Dan yang pasti kabin dalaman ini juga jauh lebih senyap kerana salah satu penambaikan yang diberikan adalah mengurangkan kadar bunyi dari luar!

 

 

Ciri keselamatan

 

UMW Toyota juga mengambil serius soal keselamatan, dengan itu Avanza ini dilengkapi dengan Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Tetapi ia cuma untuk varian tertinggi iaitu 1.5S+ sahaja! 
 

Selain itu, kesemua model dilengkapi dengan beg udara SRS berkembar, EBD/ABS, sensor undur dan ISOFIX.

 

Sekiranya anda memilih varian tertinggi, ia didatangkan dengan perakam video digital, kamera undur, BSM dan RCTA.  
 

 

Sesi Pemanduan

 

Untuk sesi pandu uji kali ini kami memilih jalan kampung untuk menjiwai karakter Avanza ini. Jika varian terdahulu, kami dibuai-buai bagaikan sampan semasa duduk di bahagian penumpang, namun jurutera-jurutera Toyota telah memastikan keselesaan kami sepanjang perjalanan. Tiada lagi terasa terumbang-ambing atau sakit di bahagian punggung kerana Avanza ini terasa selesa dan santai sahaja!

 

Sepanjang perjalanan kami, kelajuan purata yang kami pandu adalah sekitar 110km/j sehingga 130km/j, tiada ngauman enjin yang meronta memohon bantuan. Namun dalam posisi mendaki, sekiranya ia penuh dengan muatan pasti ada kedengaran bunyi lolongan dari bahagian enjin, which is normal kerana ia memerlukan lebihan tenaga untuk mendaki! 

 

Avanza bukan sebuah kereta sport, jadi JANGAN di'lowered' dan ditukar tayar dan rim aloi sehingga 'terkangkang' untuk memberikan gambaran ia adalah MPV sport!

 

Avanza adalah untuk mereka yang ingin sebuah kenderaan yang mudah dijaga, lebih praktikal dan mudah dikendali tanpa gajet-gajet elektronik yang menyeksakan sekiranya perlu diganti akibat kerosakkan! 

 

Untuk mengambil selekoh pada kadar kelajuan yang tinggi adalah risiko dan tindakan kurang bijak untuk Avanza ini, kerana ketinggian dan ketirusan badan serta saiz tayarnya, kami sarankan anda perlu bijak mengimbanginya, melainkan anda mempunyai insurans nyawa bernilai 30juta yang tersedia untuk keluarga anda!

 

Penggunaan bahan api pula, pada kami, ia biasa sahaja untuk kenderaan yang mempunyai enjin 1.5L walaupun tidak dinyatakan dalam risalah. 

 


Rumusan


Saingan terdekat Avanza ini adalah model-model SUV seperti  Xpander, Ertiga dan Livina tetapi jualan Avanza tetap berada di carta  Indonesia. Buktinya di sini:-
 

chart

 

 

 

Kenapa ramai yang memberikan kepercayaan kepada Avanza ini sedangkan pelbagai model lain terdapat di pasaran? Jawapannya terletak kepada rekod Avanza itu sendiri;

 

1. Jenama - ia adalah dari jenama Toyota yang terkenal dan berprestij


2. Daya ketahanan - di jalan raya kita sendiri masih terdapat Avanza dari tahun 2004, masih kekal relevant dan tiada isu-isu permasalahan yang kronik


3. Praktikal dan lasak - bukan senang membuat sebuah MPV yang serba boleh! Avanza ini boleh digunapakai setiap masa dan dalam pelbagai situasi; ke pasar atau kebun atau ke bandar, pendek kata ia serba boleh dan tiada masalah kecuali memasuki Camel Challenge Trophy!


4. Mudah diselenggarakan - pembeli semakin bijak dan salah satu faktor ukuran kemampuan memiliki kenderaan adalah kos penyelenggaran. Toyota sendiri terkenal sebagai salah satu syarikat yang memberikan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik di pasaran! Kos penyelenggeraan Avanza juga tidak menjerut leher pemilik!

 

Secara keseluruhannya dan pada pendapat kami, sekiranya anda mencari sebuah kenderaan keluarga dengan tujuh tempat duduk yang praktikal, ringkas dan tangkas pada harga di bawah RM100K, Avanza ini lah jawapannya!

 

 

Vlog ringkas tentang Toyota Avanza generasi kedua disertakan di sini:

 


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, berkata komitmen syarikat melangkaui penghantaran kenderaan…
Berita Domestik
Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, menzahirkan kepuasannya dengan prestasi 2023, di mana kejayaan…
Uncategorized
Pada tahun ini, sebanyak 15 sekolah menengah di seluruh negara mengambil bahagian, yang diwakili…