Penawaran trim GR Sport kini diperluaskan pada model Toyota Aqua GR Sport 2023 yang sudah pun boleh didapati di pasaran Jepun.
Tidak seperti model-model GR Sport yang lain, Toyota Aqua GR Sport ini tampil berbeza terima kasih kepada padanan kit badan yang telah direka semula.

Seperti contoh, bukaan kemasukan pada bampar yang lebih agresif, diikuti liang udara sisi yang lebih tajam, rim aloi baharu bersaiz 17 inci, angkup brek berlogokan GR Sport, serta bampar belakang yang turut mendapat sentuhan sporti.
Penawaran tempat duduk jenis bucket balutan kulit sintetik nyata menepati tema GR Sport yang dibawakan, selain daripada roda stereng balutan kulit, pedal aluminium dan aksen gunmetal pada ruang kabin.

Untuk pasaran Jepun, Toyota Aqua GR Sport dikuasakan oleh nadi hibrid 1.5 liter yang dipadankan dengan motor elektrik dan pek bateri nikel-hidrogen bipolar.
Kuasa enjin tersebut tidak disentuh, akan tetapi Toyota menawarkan talaan spesifik pada sistem suspensi, pendakap tambahan untuk tahap ketegaran casis yang lebih tinggi, serta input roda stereng yang turut ditala semula.

Kesemua perubahan ini secara langsung menyumbang kepada penambahbaikan dari segi pengendalian dan pemanduan model hatchback hibrid ini, biarpun tanpa sebarang penambahan kuasa.
Di pasaran Jepun, Toyota Aqua GR Sport 2023 dijual pada harga bermula dari 2,595,000 yen (RM84,050).