Toyota APM, kenderaan unik untuk Olimpik Tokyo 2020

oleh Muhammad Md Tajudin|
Tahun depan akan berlangsung acara sukan tersohor, Olimpik 2020 yang diadakan di Jepun. Ini adalah acara istimewa bukan setakat pertandingan sukan bagi mencari jagoan dunia tetapi lokasinya yang tersendiri.

Umum mengetahui Jepun adalah negara terkenal dengan pelbagai rekaan unik, praktikal dan comel.

Jepun membuka pintu yang luas untuk warga dunia dan Toyota Motor Corporation (Toyota) selaku rakan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 sudah mempunyai pelbagai duta dalam bentuk beroda. Di antaranya ialah Accessible People Mover atau APM yang direka khas untuk acara sukan ini.

Melalui Olimpik 2020 Toyota mahu menyediakan kebebasan untuk orang ramai bergerak bebas dan APM akan digunakan untuk tujuan tersebut sebagai pengangkutan penghubung bagi membawa seramai mungkin penumpang ke lokasi pertandingan dan acara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Toyota APM

APM dengan jarak perjalanan sehingga 100 kilometer disediakan untuk semua yang terlibat sama ada atlet, kakitangan dan pengunjung tidak kira usia, individu kelainan upaya, keluarga atau sesiapa sahaja.

Toyota akan menyediakan sebanyak 200 APM sepanjang pertandingan ini bagi memenuhi keperluan pertandingan dan pengunjung.

Mereka yang biasa mengunjungi acara sukan begini pasti arif betapa penatnya 'menapak' dari satu lokasi ke satu lokasi tambahan pula stadium dan lokasi pertandingan luas-luas belaka.

APM yang disediakan Toyota mempunyai dua jenis iaitu model asas dan kenderaan sokongan yang boleh digunakan untuk mengangkut mereka yang tercedera.

Model asas APM digerakkan oleh kuasa bateri (BEV) dan sesuai digunakan oleh pengunjung dan kakitangan di dalam lokasi yang besar.

Toyota APM

APM asas mempunyai tiga baris tempat duduk dengan yang pertama untuk pemandu, baris kedua boleh memuatkan tiga penumpang manakala baris ketiga untuk dua penumpang menjadikan keseluruhannya seramai enam penumpang.

Tempat duduk baris kedua boleh dilaras khusus untuk penumpang dengan kerusi roda. Kerusi pemandu pula berada pada kedudukan lebih tinggi dan di tengah bahagian depan supaya dapat melihat penumpang yang mahu naik atau turun dari APM.

Penumpang boleh menaiki APM melalui kedua-dua sisi dan untuk keselamatan palang keselamatan disediakan untuk digunakan semasa masuk atau keluar.

Toyota APM

APM jenis kedua ialah sebagai pengangkutan yang boleh digunakan semasa kecemasan. Ruang kerusi baris kedua dan ketiga dikhaskan untuk membawa pengusung (stretcher).

Bagi membawa pesakit dengan selamat, Toyota akan menyediakan pengusung yang boleh dilekapkan pada APM.

Menarik bukan? APM sebenarnya adalah buggy versi Toyota cuma apa yang membuatkannya kelihatan menarik ialah reka bentuk ala filem animasi Jepun dan sains fiksyen.

Mujurlah APM ini tidak menggunakan kuasa magnetik yang membolehkannya terapung di atas jalan.

Jika tidak, Olimpik 2020 bukan sahaja lokasi pertandingan perdana malah medan mempamerkan kehebatan teknologi Jepun yang luar biasa!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Toyota APM

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Toyota, air boleh menyebabkan berlakunya litar pintas pada komponen elektronik selak pintu…
Berita Global
  Tacoma memiliki muka depan yang rugged dan menarik manakala 4Runner mewarisi ciri tersebut dan…
Berita Global
Ia berikutan dengan isu skandal penipuan ujian keselamatannya yang dilaporkan sebelum ini. Toyota…