Toyota 2000GT 1:8 pasang sendiri - langganan mingguan selama dua tahun, kos RM7k

oleh Mohamad Hanif|
Pihak Hachette Collections Japan telah pun melancarkan pakej kit pasang sendiri Toyota 2000GT bersaiz 1 nisbah 8 yang boleh dilanggan setiap bulan selama dua tahun.

Bagi mereka yang berminat, kos langganan setiap minggu adalah sekitar ¥1,999 (RM72.37), bermakna, setiap bulan anda perlu menghabiskan wang sebanyak ¥7,996 (RM277.64), atau kos keseluruhan ¥195,401 (RM7,074) apabila kit ini siap sepenuhnya selepas langganan yang ke-100.
 

2000GT


Menurut laporan daripada Japanese Nostalgic Car, kit Toyota 2000GT 1:8  ini sebenarnya dihasilkan menerusi teknik pengimbasan tiga dimensi.

Oleh sebab itu, butiran yang dilihat menerusi kit ini amat mengkagumkan, seperti contoh replika enjin enam silinder sebaris Yamaha 2.0 liter, pintu yang boleh dibuka, rekaan papan pemuka klasik, serta ruang penyimpanan barangan dan tayar simpanan di bahagian belakang.
 

2000GT


Malah, lampu pop-up juga boleh beroperasi dan bercahaya sama seperti kereta sebenar, serta roda stereng yang boleh mengubah arah tayar hadapan.

Pihak Hachette Collections turut menawarkan beberapa aksesori seperti kit peralatan yang menyamai kit sebenar, kotak storan dengan lencana 2000GT, replika nombor plat yang boleh disesuaikan, serta bekas pameran akrilik.
 

200GT


Sayang sekali, program langganan ini hanya terhad untuk pasaran Jepun sahaja buat masa ini.

Sumber: Japanese Nostalgic Car