Toyopet SA - kereta penumpang pertama Toyota pasca perang dunia kedua

oleh Mohamad Hanif|
Pasca perang dunia kedua menyaksikan industri automotif Jepun terpaksa berhadapan dengan larangan penghasilan kenderaan penumpang oleh General Headquarters (GHQ), hanya kenderaan komersial sahaja dibenarkan iaitu trak, bas dan teksi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, Kiichiro Toyoda pada ketika itu menyedari larangan tersebut bakal ditarik kembali dan berbekalkan kata-kata bapanya Sakichi Toyoda 'sentiasa bersedia mendahului masa', beliau membangunkan sebuah prototaip kereta penumpang yang kemudiannya menjadi Toyopet SA.

Ternyata, jangkaan beliau tidak pernah meleset sama sekali apabila enam bulan selepas prototaip itu siap (1947), GHQ kemudian mula membenarkan produksi kenderaan penumpang yang dihadkan kepada 300 unit dalam masa setahun.

 


Teknologi yang dibawakan pada Toyopet SA ini juga bukan calang-calang, walaupun ramai yang membandingkannya dengan rekaan sebuah Volkswagen Beetle.

Dibangunkan atas platform tulang belakang (backbone chassis), Toyopet SA merupakan kereta Jepun pertama yang menggunakan sistem suspensi bebas pada keempat-empat roda.

Toyota telah memasang enjin 1.0 liter empat silinder sebaris yang hanya menghasilkan 27 kuasa kuda dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan roda belakang (FR).

 


Dengan berat badan sekitar 1,170 kg dan gandingan transmisi manual, Toyopet SA mampu mencapai kelajuan tertinggi tidak sampai 90 km/j pun!

Kenapa dua pintu dan bukan empat pintu?

Ini kerana pada ketika itu, Toyopet SA sebenarnya disasarkan kepada pemilik sebenar, dan direka untuk menjadi kereta yang ideal buat para jurutera.

Sayang sekali, kereta pertama pasca perang dunia kedua itu hanya dihasilkan sebanyak 215 unit sahaja sepanjang tempoh penghasilan selama lima tahun sehingga 1952.

 


Ini kerana pada ketika itu, permintaan lebih terarah kepada kenderaan komersial seperti trak, dan pasaran kereta penumpang lebih tertumpu kepada perkhidmatan teksi semata-mata.

Namun, ia tetap menampilkan beberapa ciri yang agak cool untuk sebuah kereta era 50-an, seperti rekaan gril terintegrasi, isyarat membelok mekanikal semafor (macam isyarat landasan keretapi!) dan ia juga antara model kereta terawal yang mendapat sistem radio.

Segala pengajaran daripada pembangunan Toyopet SA tidak disia-siakan apabila ia diadaptasikan kepada pembangunan model seterusnya, Toyota Crown.

Menariknya, model Toyopet SA ini masih lagi disimpan rapi oleh pihak Toyota Automobile Museum dan berdasarkan video berdurasi 2 minit 25 saat itu menunjukkan sedan tersebut masih lagi mampu dipandu dengan baik.