Katanya, pelajar-pelajar yang menerima Program Biasiswa Mahasiswa 2021 terdiri dari kalangan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hua Lian, Sekolah Menengah (SM) St. George, SM King Edward Vll dan SM Kebangsaan Kamunting.
Ujar beliau, penerima Bantuan Kewangan Pendidikan pula terdiri dari pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian 1, SJKC Hua Lian 2, SJKC Aulong, Sekolah Kebangsaan (SK)Taman Palma, SK Taman Panglima dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,YMHA.
“Kami sedia maklum ramai ibu bapa pelajar yang kurang bernasib baik sangat terjejas akibat pandemik ini.
“Justeru mereka amat memerlukan sokongan kewangan dalam waktu yang sukar ini bagi memberi peluang pembelajaran lebih kondusif dan TTM bersedia membantu mereka,” katanya.
Menurut Mike, TTM akan tetap memberikan komitmen untuk membantu dan meningkatkan kesejahteraan pekerja dan komuniti di sekitarnya walaupun kewangan syarikat itu mengalami kesan negatif akibat Covid-19.

Justeru ujar beliau, program bantuan itu tetap diteruskan bagi merealisasikan cita-cita TTM menjadi model korporat dan jumlah sumbangan di bawah program Bantuan Kewangan Pendidikan itu meningkat lebih dari RM1.3 juta sejak ia bermula pada 2013.
“Program ini yang bermula pada tahun 2013 telah memberi manfaat kepada 34 orang mahasiswa setakat ini dan kami sangat berbangga kerana 19 daripadanya telah berjaya menamatkan pengajian mereka di universiti tempatan.
“289 pelajar sekolah rendah yang menerima bantuan kewangan pula berasal dari keluarga kurang berkemampuan di sekitar kawasan Kamunting serta Taiping,” ujar beliau.
Mike berkata, penerima Biasiswa Mahasiswa akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM4,000 setiap tahun sehingga tamat pengajian manakala pelajar yang terpilih untuk Bantuan Kewangan Pendidikan akan menerima bantuan berjumlah RM2,400 setahun.
Artikel oleh Hamimah Hamid dan Mohd. UmzarulFaiz Umar