Torsus Praetorian TG3, enjin dan casis MAN, lebih RM1.1 juta!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Torsus Praetorian TG3
Torsus Praetorian TG3
Peningkatan pembelian kenderaan elektrik (EV) bermakna lebih banyak galian perlu dilombong. 

Berbeza dengan petroleum atau gas yang tertumpu di lautan, bahan seperti nikel dan nadir bumi perlu digali di daratan atau belakang rumah penduduk.

Sebelum ini pun bahan untuk penghasilan kereta digali di daratan dan apabila permintaan meningkat lebih banyak yang perlu diteroka dan dibawa keluar.

Penerokaan dan pengangkutan di atas pelbagai muka bumi memerlukan kenderaan khas yang betul-betul lasak dan inilah kegunaan Torsus Praetorian TG3.
Torsus Praetorian TG3

 

Torsus ditubuhkan pada 2016 dengan ibu pejabat di Republik Czech dan kilang pembuatan di Slovakia.

Selain Praetorian, Torsus mempunyai sebuah lagi model lasak iaitu van Terrastorm. Kedua-dua model Torsus dikembangkan kepada beberapa jenis varian dan kegunaan.

Bas tugas lasak off-road Praetorian TG3 hadir dengan lebih 50 perubahan teknikal dan pilihan buat yang mahu bertukar atau pelanggan baharu.

Seperti sebelum ini, Praetorian digerakkan enjin 6.9 liter diesel enam silinder dari MAN dengan 290 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 1,150Nm dari 1,200 sehingga 1,750 rpm.

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024

 

Enjin dipadan bersama kotak gear MAN 12 kelajuan Tipmatic (separa automatik) ZF, pacuan 4x4 off-road tugas berat dan pengunci pembeza pada gandar depan, antara dan belakang.

Pemandu mempunyai enam mod pemanduan yang boleh dipilih melalui sentuhan butang. 

Casis juga diambil dari MAN dan badan dibuat dari bahan polimer dengan lapisan perlindungan khas dan bebas karat. 

Selain ruang radiator pemanas berasingan, ruang enjin dilindungi sistem pemadam kebakaran serbuk automatik Blazecut.

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024

 

Menggunakan MAN bermakna rangkaian kuasa dan casis boleh diselenggara di mana-mana pusat MAN di serata dunia selain khidmat jaminan.

Penyelenggaraan juga lebih mudah dengan bukaan panel depan ditambah kira-kira 30 sentimeter. Tangki pencuci cermin dialih untuk pengisian lebih mudah.

Selak berganda turut ditambah dengan tambahan empat pin tengah supaya panel tertutup kemas.

Sebagai kenderaan lasak, Praetorian dilengkapi winc 12 tan 30 meter untuk menarik halangan atau membantu kenderaan lain.

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024

 

Dari segi keupayaan Praetorian boleh mendaki sehingga kecuraman (gradient of slope) 60 darjah dan melepasi laluan berair 680 milimeter (mm) dengan jarak kelegaan bumi 350 mm.

Tugas membrek dibantu sistem Brek Antikelincir (ABS) dan Sistem Brek Elektronik (EBS) dan cakera 19.5 inci di depan dan belakang.

Sistem elektrik menggunakan penebatan baharu untuk penyatuan lebih baik dengan pendawaian asal casis MAN.

Untuk muatan, Praetorian berukuran panjang 8.7 meter (m) dan lebar 2.54 m boleh membawa 35 penumpang (34 +1) dan pelanggan ditawarkan 14 jenis bentangan kerusi.

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024

 

Di antara perubahan pada kerangka ialah getah separuh sfera atau dipanggil silent block pada pendakap di antara casis dan struktur.

Getah baharu menawarkan keselesaan dan gerakan naik turun (articulation) lebih baik dan mengurangkan tahap bunyi jalan dan gegaran pada tahap minimum.

Turut berbeza kedudukan cagak baharu untuk lantai yang meningkat ketegaran untuk penumpang merasa lebih selesa di dalam perjalanan.

Bahagian depan menggunakan suspensi udara baharu dan pegas daun belakang diganti dengan sistem suspensi udara baharu. 

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024

 

Torsus turut menggunakan algoritma khas yang mengurangkan rasa berat di atas (top heavy) terutama sekali ketika melalui laluan off-road.

Sistem pemanasan, pengudaraan dan penyamanan udara (HVAC) turut diberi perhatian. Litar pemanasan disambung terus kepada sistem penyejukan.

Perubahan itu membolehkan haba enjin diguna untuk pemanasan dengan lebih pantas. 

Keselesaan di musim panas juga ditambah baik melalui saluran udara baharu yang mengagihkan udara dengan lebih seragam dan cekap.

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024

 

Tidak hanya penumpang, pemandu disajikan papan pemuka dan kelengkapan lain seperti tombol gear dan nyalaan baharu.

Tambahan saluran udara pada sisi papan pemuka menghalang kabus pada cermin besar dan bidai untuk perlindungan silauan matahari.

Pemandu juga dapat menggunakan pemijak gerakan elektrik. Selari dengan perkembangan hari ini, Praetorian dilengkapi sistem pengesanan laluan dan penderia lampu dan hujan.

Satu lagi yang menarik, Torsus turut menaik taraf mutu bunyi menggunakan amplifier Pioneer yang bersaingan.

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024

 

Praetorian TG3 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Shell, Transporter dan Minesite. Harga bermula daripada 192,112 pound (RM1,156,832).

Pengeluaran bas ini telah bermula dan sudah pun berada di Sepanyol, Jerman dan Ukraine.

Tidak hanya di lombong atau kuari, Praetorian boleh diguna untuk pelbagai tujuan seperti ke kawasan bencana, penjelajahan dan sebagainya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

TORSUS PRAETORIAN TG3 2024