Torsus Praetorian 2021 dikemaskini dengan lampu LED, sistem pendingin hawa yang lebih berkuasa

oleh Mohamad Hanif|
Bagi mereka yang tidak tahu, Torsus Praetorian merupakan sebuah bas yang dihasilkan khusus untuk menawan laluan off-road yang dihasilkan sejak tahun 2018.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Untuk tahun 2021, syarikat Torsus yang berasal dari Slovakia itu telah mengemaskini spesifikasi dengan menawarkan penambahbaikan bagi menjadikan pemanduan off-road berjemaah yang lebih cemerlang.

Antara perubahan yang dilakukan adalah pemasangan lampu LED serba baharu yang menawarkan kadar pencahayaan seterang 4,100 lumen, tempat pemijak pneumatik dan sistem perlindungan kebakaran bagi menjamin keselamatan 35 orang penumpang.

 


Sistem pendingin hawa Praetorian ini juga turut ditambahbaik, di mana menurut Torsus, ia mampu menurunkan suhu kabin daripada 60 darjah Celcius kepada 29 darjah Celcius dalam tiga minit dan 20 darjah Celcius dalam tempoh 15 minit walaupun dengan kehadiran 35 orang penumpang.

Sistem penyejukan ini juga berupaya menyalurkan kuasa penyejukan kepada enjin di dalam situasi ekstrem, sementara sistem pemanasan pula membolehkan kabin kekal pada suhu 20 darjah Celcius di dalam kawasan negatif 10 darjah Celcius.

 


Casis bas ini diperoleh daripada MAN diikuti dengan trenkuasa MAN iaitu enjin enam silinder 6.9 liter D08 diesel turbo yang menghasilkan 286 kuasa kuda dan 1,151 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik ZF sembilan kelajuan.

Bas Praetorian ini boleh dipandu dalam konfigurasi pacuan roda belakang atau semua roda, dan memiliki sudut mendatang 32 darjah, sudut pelepasan 26 darjah dan jarak kelegaan tanah setinggi 340 mm.

 


Menurut Torsus, bas ini berupaya melalui jalan securam 33 darjah dan melepasi halangan air setinggi 914 mm.

Harga jualan untuk sebuah bas off-road Torsus Praetorian ini bermula dari US$185,000 (RM761,923).