Torsus Overlander - sebuah bas, sebuah motorhome, sebuah jentera 4x4!

oleh Mohamad Hanif|
Penulis dapat merasakan, dalam banyak-banyak artikel berkenaan motorhome yang pernah disiarkan dalam Careta.my, ini merupakan salah satu yang paling menarik perhatian kami.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana dari segi luaran, anda sebenarnya melihat sebuah motorhome yang berasal daripada sebuah bas (ya, bas!) yang dilengkapi keupayaan off-road, Torsus Praetorian. 

Torsus Praetorian merupakan sebuah bas off-road yang dibangunkan bagi membawa para pekerja kuari yang melalui jalan yang serba mencabar sekali harung. 

Namun, di satu sudut yang berbeza, Torsus melihat bas off-road ini mempunyai potensi tersendiri terutama apabila dimodifikasi menjadi sebuah motorhome pacuan empat roda dan mengekalkan keupayaan off-road sedia ada. 

 


Dibangunkan atas casis MAN TGM bersama-sama sistem 4x4, Torsus Overlander ini turut didatangkan lengkap dengan differential lock, sistem suspensi dedaun parabola depan dan belakang, keupayaan menyelam sedalam 700 mm serta jarak kelegaan tanah 389 mm di bawah gandar. 

Untuk bergerak dengan lebih lancar di jalan off-road, Torsus Overlander dipasang dengan tayar Michelin XZL TL bersaiz 395/85 R20 yang membaluti rim 20 inci.

Kapasiti tangki bahan api juga adalah sebesar 300 liter, cukup untuk anda berkelana di dalam hutan untuk jangka masa yang lama sebelum keluar semula mengisi bahan api. 
 


Torsus Overlander memiliki kepanjangan lapan meter dan ia sudah lebih daripada cukup untuk memuatkan beberapa komponen kritikal untuk sebuah motorhome seperti bilik tidur, ruang dapur, tandas serta ruang penyimpanan barang. 

Bergantung kepada keperluan ekspedisi, Torsus juga boleh menawarkan kepada anda sebuah trailer dua gandar yang boleh ditarik di bahagian belakang, dan berkongsi binaan yang sama seperti badan bas off-road tersebut. 

Namun, menurut pengurus jualan Torso, Dmytro Kalashnyk berkata, mereka merancang untuk menjual kerangka badan bas kepada pihak ketiga serta pakar-pakar motorhome supaya para pelanggan dapat menikmati variasi konfigurasi sebuah motorhome yang diinginkan. 
 


Harga jualan pula dianggarkan bermula dari €210,000 (RM979,734) sehingga €250,000 (RM1,166,350) tidak termasuk aksesori tambahan.

Buat masa ini, Torsus sudah pun mengenalpasti beberapa pasaran utama dunia, terutama Australia, Austria dan juga Jerman yang terkenal sebagai pasaran terbesar RV dunia.