Tidak seperti sedan generasi terdahulu, Crown Sedan baharu ini mempunyai dimensi 120 mm lebih panjang, dan jarak antara roda 150 mm lebih panjang, selain membawakan pilihan trenkuasa hibrid dan juga sel bahan api.
Careta sendiri berkesempatan untuk melihat dengan lebih dekat sedan Crown ini di acara Shanghai Auto Show beberapa bulan lepas, dan memang tidak dapat dinafikan ia antara sedan Toyota yang cantik di dalam pasaran.
Di Jepun, syarikat penala terkenal Tom's tampil kit badan sporti untuk dipadankan pada Crown Crossover sedia ada.
Sekali imbas, memang nampak macam Crown Sedan, ini kerana Tom's telah membuang suspensi yang tinggi pada Crown Crossover bagi menjadikan badan sedan ini rapat ke bumi.
Selain itu, ia turut didatangkan dengan spoiler lip hadapan, skirt sisi yang agresif, diikuti dengan diffuser belakang sporti dan sayap belakang yang menonjol.
Bagi mereka yang tidak mahukan penampilan yang agak menonjol, mereka boleh menyembunyikan tip ekzos di sebalik jejaring pada bampar belakang.
Rim asal OEM turut dihukum buang daerah, dan digantikan dengan rim kustom bersaiz 21 inci dengan pilihan kemasan hitam berkilat atau kemasan berus.
Dengan tambahan kos, pemilik Crown boleh menaiktaraf sistem brek hadapan kepada tetapan Brembo.
Dengan pengenalan model Crown generasi baharu, Toyota nampaknya mahukan ia menjadi sebuah model global yang sejati, dengan menembusi lebih 40 buah negara di seluruh dunia dan sasaran jualan tahunan sekitar 200,000 unit.