Tol mungkin percuma selepas tamat konsesi - Menteri Kewangan

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan membayangkan akan memansuhkan sepenuhnya caj kesesakan bagi empat lebuh raya yang bakal diambil alih, bergantung kepada kewangan negara ketika itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jika kutipan terpaksa juga dikenakan selepas baki tempoh konsesi antara sembilan hingga 23 tahun itu berakhir, kadarnya akan lebih rendah berbanding pada masa ini bagi menampung kos operasi dan penyenggaraan.

Bagaimanapun, katanya, jika kewangan negara ketika itu kukuh, kerajaan mungkin menampung kos operasi dan penyelenggaraan, sekali gus membolehkan caj kesesakan empat lebuh raya berkenaan dihapuskan.

“Caj kesesakan dikenakan hingga tempoh konsesi tamat. Apabila tamat, kadar caj akan turun lagi banyak. Ia tak dimansuhkan kerana masih perlu tampung kos operasi dan penyelenggaraan.

“Namun, kadarnya sangat rendah. Tapi bergantung pada keadaan. Contohnya selepas satu daripada empat konsesi itu berakhir dalam tempoh sembilan tahun lagi, jika kami masih kekal memerintah dan kewangan kukuh, kerajaan boleh hapuskan caj serta tanggung kos operasi dan penyelenggaraan.

 

 

“Saya tak mahu beri harapan palsu. Bagi saya, lebih baik percuma. Tapi paling teruk sekali pun, pengguna hanya perlu bayar kadar caj yang amat rendah bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas beberapa soalan yang diajukan oleh Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) kepadanya di Dewan Rakyat, mengenai rasional kerajaan mengambil alih empat lebuh raya dengan tawaran RM6.2 bilion serta keuntungannya kepada pengguna.

Ka Siong yang juga Presiden MCA, mempersoalkan mengapa kerajaan memperkenalkan caj kesesakan bagi menggantikan tol, selain mendakwa tiga daripada lebuh raya itu mengalami kerugian kerana penurunan jumlah kenderaan.

Mengulas dakwaan Ka Siong itu, Guan Eng menafikan tiga lebuh raya berkenaan mengalami kerugian kerana keuntungan bagi semua lebuh raya itu sudah termaktub dalam perjanjian konsesi.

“Memang nampak mereka rugi sekarang, tapi akan untung di akhir tempoh konsesi. Jika tak untung, dia tak akan buat lebuh raya dan tiada pemiutang akan pinjamkan wang,” katanya.

“Caj kesesakan yang dikutip juga cukup untuk menampung penerbitan bon atau pembayaran hutang sebanyak RM6.2 bilion bagi pengambilalihan empat tol ini, sekali gus kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos,” katanya.

 

 

Pada 23 Februari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan cadangan mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di mana syarikat GAMUDA mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata, pengambilalihan empat lebuh raya itu dijangka selesai 31 Disember ini, manakala pelaksanaan caj kesesakan bermula pada 1 Januari 2020.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"LPT ada 4 plaza tol terpaksa pengguna berhenti, sedangkan untuk ringankan beban pengguna…
Berita Global
Pihak berkuasa Metropolitan Transportation Authority (MTA) baru-baru ini telah berjaya menahan 44…
Berita Domestik
“Kita tahu trend di negara ini apabila ada (sahaja) cuti bercantum dan kalau hari Jumaat atau Isnin…