Susulan kekeliruan dan kebimbangan pengguna jalan raya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tampil menjelaskan status sebenar laluan berkenaan menerusi kenyataan rasmi beliau.
Menurut beliau, semakan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan bahawa laluan yang dimaksudkan bukan jalan persekutuan, sebaliknya terletak sepenuhnya di atas tanah milikan persendirian, dipercayai milik Genting Malaysia Berhad.
Beliau menambah, aspek keselamatan, standard teknikal dan pematuhan kawal selia bagi mana-mana laluan sebegini biasanya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan.
Dalam konteks ini, laluan terbabit berada di bawah Majlis Perbandaran Bentong (MPB).
Namun begitu, Nanta menegaskan bahawa KKR tidak mempunyai kuasa perundangan atau autoriti regulatori ke atas laluan persendirian tersebut, sekali gus menjelaskan mengapa kementeriannya tidak boleh campur tangan dalam isu caj berkenaan.
Sebelum ini, Genting Malaysia dalam kenyataan mereka berkata caj dikenakan adalah bagi menampung kos penyelenggaraan laluan sepanjang kira-kira 24 kilometer merangkumi kawasan berbukit, cerun curam dan kerja-kerja keselamatan yang perlu dilakukan secara berterusan.
Di media sosial, ramai pengguna termasuk penduduk sekitar Batang Kali, Genting Sempah dan kawasan yang menggunakan laluan itu untuk tugasan harian meluahkan kegusaran jika caj tersebut memberi kesan kepada penduduk setempat yang bukan bertujuan memasuki kawasan resort.
Komen seorang pengguna, Nish Faizul, turut menarik perhatian apabila beliau menjelaskan bahawa laluan Genting Sempah – Batang Kali adalah laluan utama menghubungkan penduduk di utara Selangor dan Pahang. Menurutnya, adalah tidak adil jika mereka yang hanya melalui kawasan itu turut dikenakan bayaran seperti pengguna yang menuju ke resort.
Isu ini dijangka terus menjadi perbincangan hangat sementara menunggu pengumuman rasmi mengenai kadar dan mekanisme pembayaran daripada pihak Genting Malaysia.
Facebook: Alexander Nanta Linggi