Tol Gombak sesak - sebahagian besar pengguna cukup syarat rentas negeri

oleh SALINA JALIL|
Hampir semua pengguna lebuh raya yang melalui Plaza Tol Gombak didapati cukup syarat untuk melakukan perjalanan rentas negeri menghala ke Pantai Timur.


Tinjauan bersama Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, selama lebih empat jam sejak jam 9 pagi mendapati keseluruhan pengguna mempunyai surat kebenaran yang sah sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

 

Arifai berkata, sebahagian besar yang melalui SJR berkenaan menunjukkan surat kebenaran atas urusan kerja yang disahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain surat kebenaran dari pihak polis.

 

"Setiap proses pemeriksaan yang dibuat secara teliti mendapati sebahagian besar pengguna mempunyai surat kebenaran rentas negeri.

 

"Selain urusan bekerja dan terbabit dalam perkhidmatan penting, ada antara pengguna juga mempunyai kebenaran atas faktor kecemasan dan perubatan serta Pasangan Jarak Jauh (PJJ)," katanya selepas memeriksa sendiri sebahagian besar pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak, tengah hari tadi.

 

Bagaimanapun katanya, terdapat 14 pemilik kenderaan diarahkan berpatah balik selepas mereka memberikan alasan tidak munasabah dan mengemukakan dokumen tidak lengkap serta meragukan.

 

"Mereka yang diarah berpatah balik ini membawa rakan sedangkan surat kebenaran adalah untuk faktor PJJ, bagi membolehkan dia bertemu isterinya di Pahang, selain membawa individu lain yang tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri," katanya.

 

Mengulas mengenai kesesakan yang panjang lebih satu kilometer ke laluan berkenaan, Arifai berkata berkemungkinan ia disebabkan kenderaan terlalu banyak yang ingin menuju ke Pantai Timur dan memilih untuk melakukan pergerakan pada masa sama antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.

 

Justeru beliau menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan bahawa adanya pergerakan luar biasa hari ini sebelum sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan Selasa ini.

 

"Malah kesesakan juga mengambil masa selepas pihak polis membuat pemeriksaan secara terperinci bagi mengelak masyarakat melakukan sebarang pergerakan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran," katanya.

 

Katanya, Polis Daerah Gombak akan mempertingkatkan jumlah SJR dan penguatkuasaan Pasukan Pematuhan menjelang Selasa ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memuat naik gambar kesesakan lalu-lintas di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Sungai Besi, yang menunjukkan pergerakan besar-besaran menuju ke Pantai Timur dan selatan, pagi tadi.

 

Katanya, pergerakan secara besar-besaran boleh membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan ia tidak akan membantu dalam usaha untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"LPT ada 4 plaza tol terpaksa pengguna berhenti, sedangkan untuk ringankan beban pengguna…
Informasi
"Kita jangkakan ia dapat menyediakan lebuh raya selesa, cepat, mudah, cekap dan mampu menangani isu…
Berita Domestik
  "Sebanyak 87 motosikal diperiksa dalam operasi itu dengan 40 notis dan 26 saman dikeluarkan…