Tokyu Railway pengendali tren pertama di Jepun guna sumber tenaga hijau

oleh Mohamad Hanif|
Tokyu Corp dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Isnin lalu mengumumkan keseluruhan jaringan keretapi akan menggunakan sumber tenaga hijau seperti tenaga solar dan tenaga yang boleh diperbaharui bermula Jumaat ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan Japan Times, Tokyu akan membuat pembelian sijil bukan fosil untuk tenaga elektrik yang digunakan oleh keseluruhan rangkaian keretapi di kawasan Tokyo, di mana langkah terbaharu itu dijangka akan mengurangkan lagi emisi karbon dioksida syarikat itu menjadi sifar.

Di Jepun, pihak kerajaan telah memperkenalkan sijil bukan fosil (non-fossil certificates) bagi membuktikan sejumlah tenaga yang telah dihasilkan menggunakan sumber yang boleh diperbaharui, dan sijil ini boleh dibeli oleh syarikat-syarikat untuk mengimbangi nilai pelepasan karbon mereka sendiri.

Menerusi tindakan ini, nilai amaun pelepasan karbon dioksida oleh Tokyu adalah bersamaan dengan jumlah yang dihasilkan oleh 56,000 isi rumah setahun.

Tokyu mengendalikan sehingga lapan laluan tren yang merangkumi jarak 105 km merentasi Tokyo dan Wilayah Kanagawa.

Laluan Setagaya di bawah kendaliannya sebelum ini telah pun beroperasi menggunakan sumber boleh diperbaharui yang dijana menggunakan kuasa hidro dan geoterma sejak 2019 lagi.

Namun menurut Tokyu lagi, langkah pembelian ini tidak akan memberikan kesan kepada kenaikan tambang keretapi, dan syarikat itu akan turut memperkenalkan model keretapi yang lebih cekap tenaga bagi membantu menyerap kos kenaikan tenaga.

Sumber: Japan Times