TMS 2019 - Honda Jazz generasi keempat, ciri Honda SENSING standard!

oleh Mohamad Hanif|
Honda Motor Co. membuka tirai Tokyo Motor Show 2019 yang ke-46 dengan pelancaran rasmi hatchback segmen B, Jazz/Fit generasi baharu.

Walaupun dibangunkan atas platform serba baharu, Honda Jazz/Fit generasi keempat ini tidak mengabaikan aspek keluasan kabin dan penggunaan ruang yang versatil, sesuai untuk keperluan para pengguna. 

Tidak seperti generasi terdahulu yang lebih agresif, generasi baharu Jazz ini direka supaya lebih ringkas dan kemas, seperti yang anda boleh lihat menerusi profil sisi kereta comel ini.

 


Tiang A Honda Jazz ini telah direka supaya dapat menyerap kesan impak pelanggaran dengan lebih berkesan dan dalam masa yang sama tidak pula menghalang sudut pandangan yang luas dari arah pemandu. 

Ini bagi memastikan pemandu kekal menerima sudut pandangan yang selesa dan tidak terganggu oleh ketebalan tiang A, tidak seperti model terdahulu, selain posisi pengelap cermin yang terlindung dan rekaan papan pemuka yang rata.
 


Honda Jazz juga merupakan model Honda pertama yang menampilkan tempat duduk pengimbang badan generasi baharu, memberikan rasa pemanduan yang lebih menyeronokkan ala-ala sedan berkelas tinggi selain mengurangkan kepenatan ketika pemanduan jarak jauh. 

Tempat duduk belakang kekal menampilkan susunan yang versatil tanpa mengorbankan tahap keselesaan, walaupun digunakan oleh penumpang dewasa. 

Terdapat lima varian utama yang ditawarkan oleh Honda untuk model hatchback ini iaitu BASIC, HOME, NESS, CROSSTAR dan LUXE di mana kesemua varian didatangkan dengan Honda SENSING sebagai satu ciri standard.
 


Honda SENSING ini merangkumi pelbagai ciri keselamatan seperti Bantuan Kekal Laluan, Kawalan Pemanduan Adaptif, Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran, Sistem Pemantauan Titik Buta, serta Sistem Mitigasi Keluar Laluan. 

Untuk pertama kalinya, Honda Jazz juga turut dilengkapkan dengan modul komunikasi Honda CONNECT yang menawarkan perkhidmatan bantuan panggilan kecemasan segera, serta akses kepada fungsi kenderaan menerusi peranti pintar. 

Setakat ini tiada sebarang informasi berkenaan sistem trenkuasa, namun menurut Honda, Jazz baharu merupakan model Honda pertama yang didatangkan dengan sistem hibrid 2 motor yang menawarkan kualiti pemanduan yang lebih berprestasi dan selesa. 
 


Jazz/Fit generasi keempat akan mula dijual kepada pasaran dunia pada Februari 2020.

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Projek yang dilancarkan pada tahun 2016 itu dinamakan sebagai Nano Cellulose Vehicle (NCV) dan ia…
Berita Global
Adakah ianya lebih moden, futuristik dan memudahkan kehidupan seharian seperti apa yang digambarkan…
Berita Global
Subaru WRX STi EJ20 Final Edition menggunakan model WRX STI Type S edisi khas untuk pasaran Jepun…