TIV 2019 berjaya lepasi paras 600k unit selepas tiga tahun - MAA

oleh Mohamad Hanif|
Tahun 2019 mencatatkan peningkatan 1 peratus bagi jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) berbanding tahun lalu, atau 604,287 unit setelah tiga tahun berturut-turut mencatatkan angka di bawah paras 600,000 unit.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata, walaupun kecil ia tetap dikira satu pencapaian yang baik di sebalik persekitaran ekonomi yang mencabar. 

Prestasi untuk suku keempat 2019 turut mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan dengan jumlah jualan 161,296 unit berbanding Q4 2018 dengan 143,743 unit, kebanyakannnya didorong oleh promosi, tawaran, rebat dan insentif yang diberikan oleh pengeluar kenderaan. 
 


Pasaran segmen kenderaan penumpang kekal mendominasi dengan penguasaan 91 peratus manakala selebihnya oleh kenderaan komersil (9 peratus) untuk tahun lalu. 

Hanya sub-segmen 4WD/SUV sahaja yang mencatatkan peningkatan penjualan untuk tahun lalu dengan jumlah keseluruhan 48,962 unit, manakala sub-segmen yang lain mencatatkan penurunan (kereta penumpang, van tingkap, dan MPV). 

Segmen kenderaan komersil turut mencatatkan penurunan jumlah jualan 17.4 peratus untuk tahun ini, disebabkan faktor ekonomi yang merudum. 

Walaupun segmen trak pikap kekal mendominasi pasaran kenderaan komersil (64.9 peratus), ia juga tidak dapat lari daripada mencatatkan penurunan jumlah jualan untuk tahun 2019.
 


Secara ringkasnya, TIV untuk tahun 2019 dicatatkan pada angka 604,287 unit, kenaikan sebanyak 5,689 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dengan 598,598 unit. 

Melihatkan kepada beberapa faktor ekonomi global serta tempatan, serta perubahan polisi cukai automotif oleh Kerajaan seperti yang diumumkan baru-baru ini, MAA menjangkakan pertumbuhan TIV untuk tahun 2020 adalah sebanyak 607,000 unit atau 0.5 peratus. 

Untuk tahun-tahun berikutnya, MAA turut mengunjurkan pertumbuhan TIV sebanyak 2.0 peratus (2021), 2.1 peratus (2022), 2.2 peratus (2023) dan 2.3 peratus (2024).