Turut serta semasa mengiringi suspek ialah empat anggota lelaki yang menaiki sebuah kereta secara berasingan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek bertindak menendang anggota pengiring di bahagian betis kanan beberapa kali sebaik tiba di hospital dalam cubaaan melepaskan diri.
“Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota wanita terbabit sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada anggota itu,” katanya.
Beliau berkata, suspek sebelum itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Pasir Mas berhubung kes penipuan tambah nilai TnG yang berlaku pada 21 Oktober tahun lepas di sebuah stesen minyak di Kampung Gaung, Pasir Mas.
Kejadian berlaku apabila suspek bersama anak perempuannya yang berusia 13 tahun mendekati kaunter untuk membeli barangan dan tambah nilai TnG bernilai RM200, namun kemudian tidak dapat membayar kerana mendakwa kad debitnya tidak mempunyai kemudahan pengeluaran wang tunai di mesin bank lain.
“Suspek berpura-pura membatalkan pembelian dan memulangkan resit pin tambah nilai kepada pengadu, tetapi selepas beredar pin tersebut didapati telah ditebus.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati anak suspek mengambil gambar nombor pin pada resit tersebut dan digunakan oleh suspek,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek direman di Mahkamah Pasir Mas selama tiga hari bermula Isnin.