Tiga penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk ketika berteduh bawah jambatan

oleh Mohamad Hanif|
Tiga orang penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika berteduh di bawah jambatan di Kilometer 19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala selatan, pagi Ahad.
BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Ambul Hamid berkata, ujian yang dijalankan ke atas pemandu terbabit mendapati tubuhnya mengandungi alkohol melebihi had dibenarkan.

Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mereka yang cedera termasuk seorang yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
 
Menurutnya, dalam kejadian pukul 5.59 pagi, kesemua mangsa yang berusia 19 hingga 37 tahun itu berhenti berteduh di lorong kecemasan di bawah jambatan berkenaan kerana hujan.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta Honda City Hatchback dalam perjalanan dari ibu negara ke Cyberjaya.

"Setibanya di lokasi kemalangan, kereta yang dipandu suspek hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas serta melanggar enam lelaki yang sedang berteduh di bawah jambatan kerana hujan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya, pemandu kereta itu ditahan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.
 
Sumber: Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Sepanjang bulan ini, PPSB sentiasa memantau komen orang ramai dan kebimbangan mengenai…
Informasi
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wat Mamat berkata, pengadu memasuki…
Berita Domestik
  Polis dalam satu kenyataan berkata mereka sedang mengesan penunggang motosikal yang dipercayai…