Tiga lelaki langgar kereta polis direman tujuh hari

oleh Penyumbang Rencana|
Polis melakukan siasatan susulan insiden sekumpulan lelaki cuba melanggar polis sebelum beberapa das tembakan dilepaskan
Tiga lelaki yang terlibat dalam insiden melanggar kenderaan polis serta hampir mencederakan pegawai polis yang bertugas di Jalan 17, Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada Khamis direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Johor Bahru, Chan Lee Lee.

Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, ketiga-tiga lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 45 tahun telah memandu secara melulu hingga melanggar kenderaan polis dan hampir mencederakan pegawai polis bertugas.

Situasi itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dua daripadanya berjaya ditahan.

Hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga lelaki terbabit mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek berusia 25 tahun yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Afzan Musa melalui talian 07-3871422. 

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, ketika itu lampu beacon dan lampu kecemasan pada MPV polis telah dipasang bagi…
Berita Domestik
Beliau berkata, kes berkenaan pada peringkat awal disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan…
Berita Domestik
"Sepanjang tempoh dua minggu operasi itu, sebanyak 59 kenderaan diperiksa dan 54 daripadanya…