"Kemalangan berlaku apabila tiga kereta tersebut dari arah laluan yang sama dan apabila tiba di tempat kejadian, McLaren pertama telah memperlahankan kenderaannya kerana mahu masuk ke simpang kanan manakala McLaren kedua di belakang menekan brek.
"Kemudian datang McLaren ketiga dari belakang, hilang kawalan dan tidak dapat brek dengan baik lalu terlanggar belakang McLaren kedua," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut, kereta kedua bergerak ke hadapan dan terlanggar pula belakang McLaren pertama.
Katanya, McLaren pertama mengalami kemik di belakang sementara McLaren kedua kemik di depan dan belakang manakala McLaren ketiga kemik di bahagian hadapan.
Bagaimanapun katanya, pemandu kereta mewah berkenaan, Basil Wong Jun Hao, Matthew Mcgrory dan Marcus Luah Chuan Guan tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
