Tiga kapal pengawal pantai China itu dilaporkan berada berhampiran wilayah Batanes, sekumpulan pulau kecil yang jarang didiami di utara pulau terbesar Filipina, Luzon.
Sebuah pesawat dihantar pada Khamis untuk memantau 'pergerakan luar biasa' ketiga-tiga kapal tersebut di sekitar kepulauan Batanes, menurut kenyataan Pengawal Pantai Filipina.
Kapal Pengawal Pantai China berada kira-kira 140 kilometer di barat bandar Sabtang, namun cuaca buruk menghalang pihak berkuasa daripada menghampiri lokasi dua kapal lain, kata kenyataan itu.
Dalam temu bual bersama agensi berita India, Firstpost, Marcos berkata, jika berlaku konfrontasi antara China dan Amerika Syarikat (AS) berhubung Taiwan, tidak mungkin Filipina dapat mengelak daripada terbabit kerana kedudukan faktor geografi.
"Jika berlaku perang habis-habisan, kami pasti akan terheret sama," katanya dalam temu bual yang dimuat naik di YouTube pada Rabu lalu.
Beliau turut menyatakan bahawa ramai warga Filipina yang tinggal di Taiwan perlu diselamatkan dan dibawa pulang.
China sudah mengemukakan bantahan kepada Filipina berhubung kenyataan Marcos itu.
"Kami menggesa Filipina supaya mematuhi prinsip satu China… dan mengelak daripada bermain api dalam isu yang berkaitan dengan kepentingan teras China," kata jurucakap kementerian luar negara itu pada Jumaat.
China menganggap Taiwan yang mempunyai pemerintahan sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan telah mengancam untuk merampasnya dengan kekerasan.