Tiga bekas juruterbang Malindo Airways peroleh pampasan RM1.44 juta

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Malindo Airways Sdn Bhd diperintahkan membayar pampasan berjumlah RM1.44 juta kepada tiga bekas juruterbangnya oleh Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur kerana menamatkan perkhidmatan mereka tanpa sebab yang munasabah semasa pandemik Covid-19, lima tahun lalu.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Zalina Awang @ Mamat memutuskan bahawa syarikat penerbangan itu perlu melunaskan bayaran pampasan kepada bekas kakitangannya iaitu juruterbang perintis, Muralitharan Maniam; penolong juruterbang, Nik Afiq Farhan Nik Mohd Hilmi dan kapten, Foong Wai Ming.

Mahkamah memerintahkan Malindo Airways membayar pampasan masing-masing sebanyak RM596,000 kepada Muralitharan dan Wai Ming yang berkhidmat selama tujuh tahun manakala Nik Afiq yang berkhidmat selama empat tahun menerima RM252,000.

Syarikat berkenaan turut diperintahkan membayar pampasan tersebut dalam tempoh 30 hari dengan faedah lapan peratus setahun sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

Dalam keputusan yang dibuat pada Rabu minggu lalu, Zalina mendapati penamatan perkhidmatan ketiga-tiga bekas juruterbang itu selaku penuntut semasa pandemik gagal dibuktikan sebagai pemberhentian kerja yang dibuat secara niat baik atau bona fide pada 1 November 2020.

Berdasarkan alasan penghakiman, syarikat mendakwa berdepan masalah kewangan akibat pandemik, namun mahkamah mendapati syarikat itu telah memberhentikan semua penuntut tanpa mengemukakan bukti yang mencukupi.

“Syarikat mempunyai prerogatif atau budi bicara untuk menyusun tenaga kerja sewaktu pandemik, namun prerogatif itu tidak bersifat mutlak dan tertakluk kepada undang-undang buruh.

“Mahkamah turut mendapati pelaksanaan pemberhentian kerja atau retrenchment berkenaan tidak disertai dengan penjelasan munasabah mengenai pemilihan pekerja serta gagal mematuhi prosedur ditetapkan,” katanya.

Penghakiman itu turut menyatakan bahawa syarikat tidak boleh mengabaikan prinsip ‘Last-In-First-Out’ (LIFO) sewenang-wenangnya tanpa justifikasi yang kukuh walaupun ketika berdepan wabak.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan penamatan perkhidmatan ketiga-tiga penuntut sebagai tidak sah, sekali gus membenarkan tuntutan yang dikemukakan terhadap syarikat berkenaan.

“Mahkamah juga mengambil kira isu ketiadaan rundingan, pemberian tempoh notis yang singkat serta kegagalan majikan mengemukakan bukti lengkap bagi menyokong dakwaan lebihan pekerja,” katanya.

Semasa prosiding, ketiga-tiga penuntut diwakili peguam Mohd Syahril Daud, Hema Kumar Nageswana Row dan Nur Zur’ain Mat Ramlee, manakala syarikat berkenaan diwakili peguam Jeyendran Ramachandran.

Pada 11 Oktober 2020, media melaporkan bahawa syarikat penerbangan di seluruh dunia termasuk Malindo Airways mengurangkan bilangan pekerja susulan pandemik Covid-19.

Dilaporkan bahawa syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrid itu dijangka memberhentikan kira-kira 2,200 kakitangan atau lebih separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya.

Syarikat penerbangan itu juga dikatakan mengurangkan jumlah pesawat kepada lima pesawat Boeing 737 dan enam pesawat turboprop ATR.

Berdasarkan laporan tersebut, proses pemberhentian kerja melibatkan kakitangan terjejas dijangka selesai pada 30 November tahun sama, manakala kakitangan yang tidak terjejas dikehendaki melaksanakan pelbagai tugasan.

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Loke berkata, "Saya diberi laporan penuh. Pesawat itu terpaksa melencong ke Langkawi, dan sebaik…
Berita Domestik
  Seorang penduduk, Zana Abdullah, 45, yang selalu menggunakan perkhidmatan itu untuk ke ibu kota…
Berita Domestik
  "Tambang promosi untuk sehala bagi laluan baharu Kota Bharu – Langkawi bermula daripada RM169,…