Tiga anggota IPD Klang Utara cedera MPV dirempuh trak pikap

oleh Mohamad Hanif|
Tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara cedera selepas kereta peronda dinaiki mereka, dilanggar trak pikap di Jalan Jati Kanan, dekat sini, semalam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari, tiga anggota berpangkat sarjan, koperal serta konstabel itu menjalankan tugas pemantauan Ops COVID-19 di Sungai Kapar Indah, Meru dan Kapar.

"Hasil siasatan awal mendapati, kenderaan pasukan yang dipandu anggota berpangkat sarjan itu dari arah Perepat menuju ke Jalan Kapar.

"Apabila sampai di simpang empat Jalan Jati Kanan dengan Jalan Perepat, anggota terbabit meneruskan perjalanan dan tiba-tiba datang trak pikap dari simpang arah kanan jalan melanggar bahagian tepi pemandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat dari kemalangan itu, dua anggota iaitu sarjan dan konstabel cedera ringan iaitu sakit di bahagian rusuk kiri serta serta bengkak di belakang kepala, manakala koperal pula dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pemandu trak pikap iaitu lelaki berusia 59 tahun cedera di kepala dan kini dirawat di hospital swasta.

"Hasil pemeriksaan, pemandu trak pikap itu tidak mabuk ataupun mengantuk. Mungkin dia tidak perasan semasa mahu keluar dari simpang berkenaan.

"Lelaki berkenaan difahamkan akan tampil membuat laporan esok kerana masih dirawat," katanya.

Sumber: Berita Harian