Tidak perlu terburu-buru ke JPJ perbaharui lesen memandu atau cukai jalan

oleh SALINA JALIL|
Pemilik yang Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu tamat tempoh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak perlu terburu-buru datang ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharuinya.


Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata ini berikutan pengecualian pembaharuan yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

"Pengecualian ini adalah menggunakan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

"Orang ramai masih boleh memandu walaupun LKM atau Lesen Memandu tamat tempoh dengan membawa nota perlindungan insurans (cover note) yang masih sah dan berkuat kuasa," katanya dalam sidang media di JPJ Negeri Selangor, Seksyen 16 di sini hari ini.

 

Shaharuddin berkata, bagi Lesen Belajar Memandu (LDL) atau lesen L, pihaknya masih menangguhkan transaksi kerana ia hanya akan dibuka pada hari institut latihan memandu dibenarkan beroperasi.

 

"Institut latihan memandu akan mula operasi 1 Jun depan, oleh itu transaksi pembaharuan lesen L juga akan bermula 1 Jun.

 

"Kepada pemegang lesen L yang ingin perbaharui lesen L bermula hari ini sehingga akhir Mei tiada, tidak dibenarkan sebab sistem belum dikemaskini.

 

"Kita akan kemas kini untuk lesen L pada 1 Jun. Siapa yang memiliki lesen L, kita benarkan dia memandu di jalan raya dengan syarat kenderaan yang dipandu atau ditunggang hendaklah mempunyai perlindungan insurans," katanya.

 

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP bermula pada 18 Mac sehingga 30 April lalu, bilangan lesen tamat tempoh bagi LKM adalah 1,851,114 manakala bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM) pula berjumlah 981,883.

 

"LMM terdiri daripada Lesen Belajar Memandu (LDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Konduktor (CON) dan Permit Memandu Antarabangsa (IDP)," katanya.

 

Bagaimanapun katanya, jumlah itu berkurangan ekoran pembukaan kaunter bagi beberapa urus niaga secara berperingkat dengan memfokuskan kepada kenderaan perdagangan bermula 29 April lalu.

 

"Sejak kaunter JPJ dibuka pada musim PKPB ini, secara purata JPJ mengutip hasil sebanyak RM1.1 juta sehari seluruh negara bagi kenderaan perdagangan dan ini menjadikan jumlah bagi tempoh 29 April sehingga 12 Mei sebanyak RM83 juta.

 

"JPJ menjangkakan akan mengutip hasil melebihi RM5 juta sehari bagi pembukaan kaunter untuk semua urus niaga hari ini," katanya.

 

Beliau berkata, bermula hari ini sebanyak 82 pejabat JPJ dibuka beserta 17'mobile counter' JPJ digerakkan bagi membantu melancarkan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam di seluruh negara.

 

"Waktu operasi kaunter bermula jam 8 pagi hingga 4 petang, bagaimanapun kaedah pembayaran menggunakan wang tunai sehingga jam 11 pagi sahaja.

 

"Selepas itu, pembayaran hanya menggunakan 'e-payment' sahaja seperti kad kredit dan debit," katanya.

 

Sementara itu katanya, JPJ dimasukkan ke dalam pasukan petugas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuat advokasi bagi pelaksanaan PKPB.

 

 

 

sumber: BH

Berita Berkenaan

Informasi
Jelas beliau, setakat 29 Februari lalu sebanyak 578 kes direkodkan bagi kesalahan memandu di bawah…
Berita Domestik
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi…
Informasi
MyEG berkata kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima surat pelantikan daripada JPJ pada Isnin…