Tidak dibayar gaji, pemandu bas di Kelantan mogok kali kedua

oleh SALINA JALIL|
Lengang dan kosong.

Situasi itu dilihat berlaku di Stesen Bas Kota Bharu hari ini sejak awal pagi ini apabila dipercayai pemandu bas henti-henti sebuah syarikat melancarkan mogok hingga menyukarkan pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu sebagai pengangkutan harian.


Lebih 60 buah bas yang sepatutnya memulakan perkhidmatan seawal pukul 6.00 pagi tidak kelihatan di stesen bas berkenaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Seorang pengguna, Juliana Supajam, 21, yang berasal dari Kampung Alor Lintah, Jerteh berkata dia terkejut apabila mendapat tahu tiada perkhidmatan bas hari ini.



“Saya datang ke Kota Bharu atas urusan sejak kelmarin, dan untuk pulang ke Jerteh semula hari ini saya terpaksa meminta tolong kawan untuk menghantar saya memandangkan tiada bas.



“Untuk mendapatkan khidmat kereta sewa pula ia terlalu mahal sehingga ada yang meminta bayaran sebanyak RM80 untuk perjalanan dari Kota Bharu ke Jerteh sedangkan apabila menaiki bas hanya RM6.20 sen sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.



Seorang lagi pengguna, Zahratunnisak Ab Rahman,19, berkata tindakan pemandu bas mogok ini dilihat menyusahkan orang ramai sehingga menyebabkan urusan hariannya tergendala.



“Saya keluar rumah sekitar pukul 8.30 pagi ini dan dihantar oleh ayah saya untuk urusan di Kota Bharu, namun pada 12 tengah hari tadi ketika sedang menunggu bas henti-henti untuk pulang ke Pasir Tumboh, saya disapa oleh pemandu teksi memaklumkan bas tidak beroperasi hari ini.


“Tidak mahu membuang masa untuk terus menunggu, saya terus mendapatkan perkhidmatan kereta sewa. Walaupun tambangnya adalah hampir tiga kali ganda mahal daripada tambang bas namun saya tiada pilihan lain,” katanya.



Sementara itu, usaha bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada syarikat pengurusan bas gagal dan talian telefon juga tidak berjaya dihubungi.



Difahamkan ini adalah kali kedua mogok itu dilakukan para pemandu bas syarikat yang sama selepas tindakan kali pertama pada 17 Dis lepas ekoran tidak dibayar gaji selama dua bulan.

 



-- BERNAMA
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, tindakan tiga lelaki berusia antara 52 hingga 54 tahun itu terbongkar melalui…
Berita Domestik
Pemandu bas berusia 51 tahun itu dalam aduannya mendakwa dia diarahkan memberhentikan basnya di…
Berita Domestik
"Perjalanan jauh melebihi 300km memerlukan pemandu kedua, tak boleh seorang (pemandu), tetapi…