Tidak akan beri fokus pada Fiat -  CEO beri amaran jangan emosional 

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

CEO untuk Kumpulan Fiat Chrysler, Sergio Marchionne berkata bahawa pihak syarikat tidak akan memberi fokus lagi kepada jenama Fiat kerana beliau percaya adalah lebih baik fokus dan pelaburan diberikan kepada jenama lain dalam kumpulan itu.

Prestasi jualan Fiat menurun dengan pantas di Eropah, walaupun model-model seperti Fiat 500, 500X dan Panda masih mempunyai harapan.

"Syarikat melihat perkembangan yang baik bagi jenama Jeep dan juga ada peningkatan ketara untuk Alfa Romeo dan Maserati. Adalah lebih baik jika pelaburan dan fokus ditumpukan kepada ketiga-tiga jenama itu," ujar Marchionne.

 

 

"Kita harus berhati=hati membuat pelaburan besar untuk produk-produk yang akan bersaing dalam pasaran yang mempunyai terlalu ramai pemain," tambah beliau lagi bila ditanya mengenai model kecil Fiat Tipo dan model ikonik jenama tersebut, Fiat Punto.

Punto tidak lagi dijual di United Kingdom, sementara prestasi penjualan model itu di Itali sendiri tidak begitu memberangsangkan.

"Pertumbuhan dalam jualan genre SUV dan trak pikap memberikan respon yang baik untuk Jeep dan Dodge Ram di US," sambung Marchionne.

 

 

"Kajian juga meyakinkan kami bahawa 40 peratus dari jualan kenderaan di Eropah dalam masa terdekat adalah dari genre SUV."

"Tidak masuk akal untuk menghasilkan SUV Fiat lagi bila kita sudah mempunyai jenama Jeep," katanya.

"Kita tidak boleh emosi dalam perniagaan ini. Fiat dan Lancia akan memainkan perana yang semakin kecil di Eropah," terang Marchionne sambil bersetuju pasaran Fiat di Amerika Latin mungkin boleh diberikan pertimbangan.

 

 

Marchionne juga mengaku akan kesilapan beliau dalam menjangkakan jualan Alfa Romeo akan berkembang sehingga 400,000 unit setahun (dari 2014 ke 2018).

"Saya tersilap. Jualan Alfa Romeo nampaknya akan mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai jumlah tersebut."

Marchionne berkata walaupun begitu, jenama Alfa Romeo telah berjaya "dihidupkan" semula dan pihak kumpulan akan memberikan struktur teknikal yang lebih baik untuk jenama lagenda itu agar ia mampu bersaing dengan jenama-jenama Jerman.

"Lebih banyak model baharu Alfa Romeo akan dilancarkan dan ini termasuk SUV serta sedan."

 

 

Pengganti untuk Giulietta dan Mito juga dalam perancangan, walaupun kemungkinan besar Mito bukan lagi sebuah hatchback tiga pintu kerana pasaran untuk genre itu semakin pupus.

"Samada jualan Alfa Romeo dan Maserati akan mencecah 400,000 unit atau tidak, itu tidak penting. Yang penting ialah pakej perubahan untuk Alfa dan Maserati ternyata berkesan dan keduanya kini duduk di dalam pasaran yang khusus untuk beberapa jenama sahaja.

Usaha menghidupkan Alfa dan Maserati sudah mencapai objektifnya. Yang tinggal sekarang cuma usaha-usaha dari pakar-pakar pemasaran bagi memastikan jualan terus menaik."

 

 

 

Fiat masih lagi tidak mempunyai pengedar di Malaysia. Kali terakhir, jenama itu dimiliki oleh syarikat Torino Motors di bawah kumpulan Ally Azran.

Fiat Panda pernah memenangi anugerah kereta kompak terbaik dalam Car of The Year anjuran Maybank dan NST. 

 

 

Namun begitu jualan semakin merosot kerana Fiat tidak mempunyai produk yang sesuai untuk pasaran Malaysia. Contohnya, sistem transmisi yang ditawarkan hanyalah manual atau AMT, dan keduanya terbukti tidak digemari oleh pasaran negara yang rata-rata dipenuhi oleh peminat kereta automatik.

Jika Marchionne telah berkata fokus untuk Fiat akan dikecilkan lagi, Careta rasa memang jenama itu tidak akan mempunyai produk yang sesuai dengan kita.

Berita Berkenaan

Berita Global
Pemiliknya, Stellantis percaya model perniagaan terbaharu Fiat yang menawarkan pemasaran dari segi…
Berita Domestik
Untuk pasaran Malaysia, kumpulan itu sekarang diwakili oleh Peugeot sahaja dan bulan November lalu…
Berita Global
Kini, lebih banyak perincian didedahkan secara rasmi bagi mereka yang mahukan sebuah kuadirisikal…