Tiang Amaran Dipasang Hari Ini Di Jalan Sungai Korok

oleh Qalif Latif|
Tragedi menyayat hati melibatkan enam sekeluarga yang maut selepas kereta mereka terbabas ke dalam Sungai Korok mendorong tindakan segera daripada pihak berkuasa. Kerajaan negeri Kedah mengesahkan pemasangan tiang amaran sementara di Jalan Sungai Korok, Jitra bermula hari ini sebagai langkah awal sebelum sistem keselamatan kekal dilaksanakan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Mohammad Yusof Zakaria, langkah itu adalah sebahagian cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah.

Tiang amaran ini dipasang untuk memberi peringatan segera kepada pengguna jalan, sementara kita tunggu kelulusan peruntukan bagi bina pagar penghadang, lampu jalan dan komponen keselamatan lain,” katanya selepas melawat lokasi kejadian semalam.

Cadangan lengkap daripada JKR merangkumi:

  • Pembinaan pagar penghadang di kawasan berisiko

  • Pemasangan lampu jalan

  • Paku jalan pemantul cahaya

  • Papan tanda serta lampu amaran

  • Tiang penunjuk arah dan garisan jalan lebih jelas

Mohammad Yusof turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meneliti segera keperluan pembinaan pagar dan pencahayaan tambahan di kawasan berkenaan.

Impak Tragedi

Kejadian menyayat hati ini melibatkan pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak (32) dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi (31), bersama empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat (9), Hawa Adriana (8), Annayla Humaira (7) dan Tuah Haydar yang baru berusia enam bulan.

Mereka dilaporkan hilang pada awal pagi Sabtu lalu selepas meninggalkan kediaman ahli keluarga di Taman Sri Aman. Kesemua mangsa ditemui maut dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, Kampung Kemboja.

Tragedi ini bukan sahaja membuka mata masyarakat, malah mencetuskan gesaan agar laluan tersebut yang sering dikaitkan dengan kes kemalangan dan kisah mistik diberi perhatian serius dari segi infrastruktur dan ciri keselamatan.

Sumber: BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, perbincangan itu turut mengambil kira aspek…
Berita Domestik
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata beliau juga akan mendapatkan taklimat…
Berita Domestik
Beliau berkata, rekod sejak 2021 itu kebanyakannya dipercayai berpunca akibat pemandu kenderaan…