Tiada peraturan wajib guna kerusi keselamatan kanak-kanak mulai tahun depan

oleh HEZERI SAMSURI|
HARAPAN pakar dan penyokong keselamatan jalanraya untuk melihat peraturan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan mulai tahun depan tidak kesampaian setelah kerajaan mengesahkan bahawa cadangan tersebut tidak akan dilaksanakan.
 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan kini tidak akan melaksanakan peraturan mewajibkan kanak-kanak berada di dalam kerusi keselamatan tersendiri bermula Januari 2019 memandangkan cadangan tersebut dibuat oleh pentadbiran terdahulu.
 
Walaupun menyedari bahawa tahap kesedaran dan penggunaan untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan bayi masih lagi di negara ini masih rendah, Loke menambah bahawa kajian lebih mendalam perlu dilakukan sebelum menentukan hala tuju di masa hadapan.
 
 

 

“Kita perlu melihat perkara ini sama ada ia praktikal dan juga dari sudut kemampuan sebuah keluarga sebelum kita menguatkuasakan cadangan ini,” kata Loke selepas melawat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia tengahari tadi.
 
“Untuk membuat (peraturan) ini, masa yang cukup diperlukan bagi pastikan orang ramai mendapat maklumat cukup dan mereka sedar serta bersedia. Lagi pun, cadangan ini dibuat oleh kerajaan dahulu. Buat masa ini, kita tidak rasa akan melaksanakannya tahun depan,” tambah Loke.
 
Loke juga mengingatkan ibu bapa dan pengguna jalanraya agar sentiasa mementingkan langkah keselamatan untuk seluruh keluarga walaupun tiada peraturan diperkenalkan.
 
“Kita tidak perlu menunggu nak ada undang-undang barulah nak pakai ‘seat belt’. Malahan saya difahamkan kadar pemakaian untuk tali pinggang di penumpang belakang juga masih berada di tahap rendah,” katanya.
 
 

 

Pada November 2016, Menteri Pengangkutan terdahulu telah mengumumkan bahawa 2019 telah dijadikan sasaran agar penumpang kanak-kanak diwajibkan memakai kerusi keselamatan di dalam kereta setelah mendapat desakan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
Dua tahun lalu, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga telah disarankan oleh pakar keselamatan jalanraya agar peraturan digubal secepat mungkin kerana kadar kematian dan kecederaan melibatkan penumpang kanak-kanak dan bayi semakin meningkat dari tahun ke tahun.
 
Berdasarkan kepada statistik 2013, 13 kanak-kanak telah terbunuh di dalam nahas melibatkan kereta. 
 
 

 

Kajian juga telah menunjukkan bahawa dengan sistem keselamatan untuk kanak-kanak, kematian melibatkan mereka dapat dikurangkan kepada 70 peratus, 54 peratus untuk kanak-kanak berumur satu hingga empat dan kecederaan untuk umur empat hingga tujuh boleh dikurangkan sehingga 59 peratus.
 
Manakala, Safe Kids Worldwide menyatakan bahawa ‘child car seat’ atau ‘child restraining system’ dapat mengurangkan risiko kematian kanak-kanak sebanyak 71 peratus, tapi ia perlu dipasang dan digunakan dengan betul. - Shahrim Tamrin
 
 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
IBARAT Cengkaman Brek Begitulah yang dapat dirumuskan setakat ini terhadap cadangan menurunkan had…
Berita Domestik
Usaha meneraju penyelarasan komunikasi dan perlaksanaan pelan keselamatan jalan raya kini mengalami…
Informasi
Menerusi kajian Miros berjudul "A Study on Automotive Tint Glazing in Malaysia", cermin kereta yang…