Tiada lagi Bugatti di bawah VW Group, Porsche lepaskan pegangan dalam Bugatti Rimac

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Porsche dilapor akan menamatkan penglibatannya dalam Bugatti Rimac dan Rimac Group selepas menjual keseluruhan 45 peratus pegangan sahamnya kepada sebuah konsortium berpangkalan di New York.

Langkah tersebut menandakan perubahan besar dalam strategi Porsche, kurang lima tahun selepas penubuhan Bugatti Rimac yang menyaksikan Rimac memegang 55 peratus pegangan manakala Porsche memiliki baki 45 peratus. 

Penjualan itu turut melibatkan pegangan 20.6 peratus Porsche dalam Rimac Group, walaupun butiran nilai transaksi masih belum didedahkan dan masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bugatti Rimac, Mate Rimac, Porsche memainkan peranan penting dalam pembangunan syarikat tersebut sejak awal penubuhannya. 

Namun begitu, hala tuju selepas penjualan itu masih belum jelas, termasuk sama ada akan berlaku perubahan besar dalam operasi Bugatti Rimac. 

Konsortium yang mengambil alih pegangan itu diketuai oleh HOF Capital, yang sebelum ini mempunyai pelaburan dalam syarikat-syarikat teknologi utama seperti SpaceX, Anthropic dan Epic Games.

 

2

 

Langkah Porsche dilihat sebagai sebahagian daripada penyusunan semula strategi perniagaannya, di mana baru-baru ini Porsche mengumumkan penurunan keuntungan operasi sebanyak 92.7 peratus, didorong oleh kos tinggi dalam peralihan ke arah elektrifikasi. 

Kesan kewangan itu dianggarkan mencecah €3.9 bilion (RM19.7 bilion), termasuk sekitar €2.4 bilion (RM12.1 bilion) yang diperuntukkan untuk pembangunan produk baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Michael Leiters, menyatakan bahawa penjualan pegangan itu membolehkan syarikat memberi fokus semula kepada perniagaan teras. 

Ia selari dengan tekanan yang dihadapi Porsche ketika ini, termasuk kos tarif di Amerika Syarikat serta persaingan sengit di pasaran China, faktor yang turut memberi kesan kepada syarikat induknya, Volkswagen Group.

Keputusan tersebut mencerminkan perubahan keutamaan Porsche dalam menghadapi landskap industri automotif yang semakin mencabar, khususnya dalam era elektrifikasi dan persaingan global yang semakin agresif.

 

Sumber: Porsche

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam perkembangan terbaru, model ikonik Porsche 911 GT3 generasi akan datang dilaporkan berpotensi…
Berita Global
Teknologi tersebut didedahkan melalui paten yang difailkan pada Ogos 2024 dengan German Patent and…
Berita Global
Langkah tersebut mencerminkan pendekatan lebih realistik Porsche terhadap pasaran semasa,…