Thermostat - kecil tapi boleh tentukan nyawa enjin anda!

oleh Mohamad Hanif|
Antara alat terpenting di dalam enjin kenderaan kita ialah thermostat atau dalam Bahasa Malaysia - termostat.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Saiznya muat untuk digenggam dan ia kelihatan sangat ringkas - seperti sebuah penutup dengan spring yang besar.

Tanpa termostat, enjin anda bakal mencapai suhu kepanasan melampau dan blok enjin boleh retak.

Fungsi termostat ialah untuk memastikan suhu operasi enjin berada di dalam julat yang optimum, iaitu 91˚C hingga 104˚C.

 


Secara ringkas, termostat sebenarnya ialah injap yang mengawal cecair penyejuk di dalam sistem penyejukan enjin. Jadi bila suhu enjin meningkat, termostat akan membenarkan cecair penyejuk masuk ke radiator untuk disejukkan.

Bila enjin berada di tahap optimum, termostat ditutup dan cecair penyejuk mengalir seperti biasa di liang-liang laluan di dalam blok enjin tanpa memasuki radiator.

Jadi bagaimana termostat tahu suhu di mana ia perlu dibuka atau ditutup?

 


Mudah. Ia menggunakan sejenis “wax” atau lilin yang menjadi agen pengembang. Bila suhu mencapai darjah tertentu, agen berlilin itu mengembang dan membuka injap termostat.

Bila suhu menurun, ia menguncup dan termostat berada dalam keadaan normal - iaitu dengan injap tertutup.

Jadi sekiranya tolok suhu anda menunjukan suhu enjin yang naik dan turun terlalu kerap, atau enjin anda semakin panas dan jarum enjin menghampiri kawasan bahaya, ada kemungkinan termostat anda rosak (ataupun kipas radiator).

Jika enjin anda terasa sebu dah penggunaan bahan api meningkat, ini mungkin juga kerana termostat anda sudah kejung dan berada di dalam keadaan injap terbuka (bermakna enjin anda terlalu sejuk).

 

 

Satu petanda lagi yang lebih konkrit ialah bila kenderaan anda mengeluarkan cecair hijau muda yang nampak enak untuk diminum (sila jangan minum ya). Ini berkemungkinan besar akibat termostat yang rosak dan tidak membenarkan cecair penyejuk mengalir dan akhirnya hos-hos sambungan menjadi bocor.

Cara memeriksa samada termostat berfungsi adalah mudah sebenarnya. Hidupkan enjin sejuk anda dalam masa seminit dua dan buka penutup raditor.

Dalam keadaan tersebut, enjin masih sejuk dan termostat sepatutnya tertutup - bermakna tidak ada cecair penyejuk yang mengalir di dalam radiator itu. Jika cecair itu kelihatan mengalir, bermakna termostat anda sudah rosak dan dalam keadaan terbuka.

Tutup penutup radiator dan biarkan enjin sampai ke suhu operasi optimum. Kali ini, buka penutup radiator dan anda sepatutnya dapat melihat cecair penyejuk sedang mengalir.

Jika tidak, enjin anda dalam kepanasan dan dompet anda bakal kekeringan.

 


Semak harga termostat sebelum anda ke mana mana bengkel untuk mengelakkan anda tertipu tetapi Careta percaya, dalam zaman sekarang, tidak ada ramai bengkel yang mahu menipu kerana semua mahu pelanggan-pelanggan mereka kekal selamanya.