Theon Design - GBR002, badan karbon, 4.0 Boxer, 406 bhp!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Theon Design - GBR002
Theon Design - GBR002
Theon Design pada Ogos 2023 memperkenalkan GBR001, sebuah projek baik pulih dan ubah suai Porsche 911 (964).

Tidak terhenti di situ, kini giliran GBR002 yang disiapkan untuk pelanggan kedua dari United Kingdom. 

Badan hijau dikenali sebagai Oak Green Metallic dan dipadan dengan perkakasan krom Warm Satin dan rim 18 inci gaya Fuchs.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
Theon Design - GBR002

 

Apa yang menarik tentang Theon Design ialah mereka mengekalkan identiti yang membentuk Porsche.

Untuk kerja-kerja baik pulih, satu perkara wajib ialah menanggalkan badan sehingga rangka dan begitu juga dengan 911 (964) Carrera 2 tahun 1992 ini.

Casis asal diperkukuh dan ditutup dengan panel badan karbon kecuali pintu yang kekal daripada besi untuk perlindungan impak sisi.

 

Theon Design - GBR002

 

Bagi memastikan pemasangan sempurna, badan kereta diimbas dan setiap panel dibuat dalam bentuk digital menggunakan perisian tiga dimensi.

Sama seperti kereta lumba, panel gentian karbon lebih ringan dan tegar. Berat GBR002 dengan segala bendalir 200 kilogram (kg) lebih ringan berbanding 964 Carrera 2.

Di sebalik badan juga tersorok pendawaian baharu manakala pemampat penyaman udara dan pam stereng kuasa elektrik dipindah ke depan kereta.

 

Theon Design - GBR002

 

Perkakasan itu dipasang ke bawah bagi mengoptimumkan pembahagian berat.

Nadi kepada GBR002 ialah enjin 4.0 liter Boxer dan paling berkuasa di dalam barisan enjin Theon setakat ini. 

Enjin kereta menghasilkan 406 bhp pada 7,200 rpm dan tork 442Nm pada 5,800 rpm. Bukan sahaja angka yang cantik, penampilan enjin juga disiapkan dengan menawan.

 

Theon Design - GBR002

 

Theon memasang perkakasan baharu seperti sistem pencucuhan yang menambah lima peratus kuasa dan badan pendikit daripada Jenvey.

Roda tenaga tunggal (flywheel) menjadikan tindak balas enjin lebih spontan dan nadi kereta diselia sistem pengurusan enjin baharu.

Kuasa enjin dihantar ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan Hewland dengan corak tukaran Porsche.

 

Theon Design - GBR002

 

Pembeza gelinciran terhad Wavetrac® Torsen bekerja bersama kotak gear untuk menguruskan cengkaman dan kawalan.

Ekzos kereta disaluti seramik oleh Zircotec dan prestasi pemberhentian dilonjakkan pakej brek Porsche RS.

Satu lagi aspek penting dalam menguruskan kuasa ialah sistem ampaian yang bagus.

GBR002 menggunakan sistem peredam TracTive Active Controlled Electronics (ACE) dengan lima larasan. 

 

Theon Design - GBR002

 

Penalaan suspensi ditentukur dan disemak berkali-kali untuk prestasi dan cengkaman yang cemerlang termasuk jalan berselekoh.

Menjengah ke bahagian dalam, pemandu dan penumpang disambut dengan kemewahan dan juga lambang cita rasa tinggi.

Kerusi asal diganti Recaro CS pada bahagian depan dan kerusi touring Theon yang dibalut kulit Muslin.

Corak sulaman alcantara dan kulit pada panel dalaman juga membentuk seni dalaman kereta. Stereng Nardi deep dish memberikan aura klasik dan sporti pada kereta ini.

 

Theon Design - GBR002

 

Suis penyaman udara dan unit kawalan diganti dengan set baharu dari Theon. Menemani deruman enjin Boxer ialah amplifier dan enam pembesar suara dari Focal. 

Berkenaan harga, tempahan untuk sebuah Theon Design bermula daripada 380,000 pound (RM2,245,372) dan setiap satu dibuat berbeza dan hasil kerjasama dengan pelanggan.

Masa yang diambil selama 18 bulan dan harga tersebut tidak termasuk kereta asal, penghantaran dan sebagainya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Theon Design - GBR002