Memetik sumber daripada media Thailand yang boleh dipercayai, Toyota bakal melancarkan abang besar kepada GR Yaris itu menjelang akhir tahun ini.

Tiada sebarang tarikh muktamad diumumkan, namun besar kemungkinan ia akan dibuat secara rasmi pada acara Thailand International Motor Expo 2022.
Baca: Toyota GR Corolla 2023
Kehadiran GR Corolla itu juga dikatakan bertepatan dengan sambutan ulang tahun yang ke-60 Toyota Thailand.

Toyota GR Corolla 2023 diumumkan secara rasmi di peringkat global pada awal tahun ini sebagai pelengkap kepada keluarga Gazoo Racing, dengan membawakan enjin G16E-GTS yang sama seperti GR Yaris, namun dengan hamburan kuasa 300 hp dan 370 Nm.
Tidak seperti GR Yaris yang merupakan unit homologasi khas dengan angka produksi dihadkan kepada 25,000 unit, GR Corolla pula merupakan hot hatch produksi global tanpa sebarang had produksi diumumkan buat masa ini.

Tambah sumber itu lagi, Thailand bakal mendapat 10 unit GR Corolla buat permulaan, namun tidak dapati dipastikan sama ada angka itu muktamad untuk fasa pelancaran atau sememangnya diperuntukkan untuk kuota tahunan.
Baca: Toyota GR Corolla 2023 - tidak terhad macam GR Yaris, tapi kekal eksklusif
Baca: Produksi GR Corolla 2023 - 2,000 unit untuk pasaran global
Harus diingat, sama seperti pengeluar lain, Toyota juga kini bergelut dengan masalah kekurangan cip dan komponen automotif, dan GR Corolla pula hanya dipasang di lokasi tunggal GR Factory yang terletak di Motomachi.

Bagaimana pula dengan pasaran Malaysia?
Berdasarkan laporan Careta terdahulu, Toyota Malaysia komited untuk memperkenalkan model-model GR terbaharu dan tidak dilupakan model GR Sport untuk pasaran tempatan.
Baca: Tiada lagi model baharu GR selepas ini - ketua jurutera GR86
Baca: Toyota tapis kelayakan 9 pembeli GR Corolla Morizo Edition
Setakat ini, dua buah model GR telah pun dilancarkan di tanah air, dimulakan dengan GR Supra dan GR Yaris yang telah terjual sebanyak 127 unit dalam tempoh kurang sebulan.

Melihatkan kepada sambutan yang diterima, besar kemungkinan pihak UMW Toyota Motor akan turut membawa model-model GR terbaharu, termasuklah kereta sports pacuan roda belakang GR86 dan GR Corolla yang bakal memberikan saingan kepada Civic Type R, tidak terkecuali model GR Supra yang telah pun menerima kehadiran transmisi manual pada tahun ini.
Baca: Jurutera bangunkan transmisi GR Supra manual daripada model Z4
Sumber: Autoindustriya