Di bawah dasar asal yang diperkenalkan pada 2022, pengeluar dibenarkan mengimport EV tanpa duti, dengan syarat jumlah pengeluaran tempatan perlu menyamai jumlah import menjelang 2024.
Bagi tahun 2025 pula, syaratnya adalah menghasilkan 1.5 unit EV tempatan bagi setiap unit yang diimport.
Namun, perubahan terbaharu membolehkan EV yang dihasilkan di Thailand tetapi dieksport turut dikira dalam kuota pengeluaran, berbanding sebelum ini yang hanya mengambil kira kenderaan yang didaftarkan secara tempatan.
"Semakan dasar ini akan memberi fleksibiliti lebih luas dan membantu Thailand mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama pengeluaran EV di rantau ini," kata Setiausaha Agung Lembaga Pelaburan Thailand, Narit Therdsteerasukdi.
Thailand kini merupakan ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara serta pusat pengeluaran dan eksport automotif utama bagi jenama seperti Toyota dan Honda. Namun dalam segmen EV, jenama dari China menguasai lebih 70% pasaran tempatan.
Dasar EV Thailand turut merangkumi pengecualian cukai dan subsidi harga, serta telah menarik pelaburan melebihi AS$4 bilion, termasuk dari syarikat China seperti BYD dan Great Wall Motors.
Tahun lalu, kerajaan turut melanjutkan tempoh pematuhan pengeluaran tempatan bagi mengelakkan lambakan bekalan ketika pasaran berdepan permintaan yang lemah ekoran kelembapan ekonomi.
Dengan pelaksanaan semakan baharu ini, pihak berkuasa menjangka eksport EV Thailand akan mencecah 12,500 unit pada tahun ini dan melonjak kepada 52,000 unit menjelang 2026.
Pada April lalu, Thailand telah menghantar eksport EV pertamanya sebanyak 660 unit.
Baca di NikkeiAsia