Thailand lihat Indonesia sebagai pencabar takhta juara automotif Asean

oleh HEZERI SAMSURI|
Thailand, juara industri automotif di Asean yang juga dikenali sebagai Detroit of Asia menganggap Indonesia sebagai pesaing yang mampu memintas kemajuannya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Negara gajah putih itu ialah pusat pengeksport kenderaan dan juga komponen automotif yang terbesar di Asean. Thailand juga adalah pusat penyelidikan dan penghasilan komponen untuk segmen trak pikap saiz sederhana bagi pasaran dunia.

Ford contohnya membina semua varian-varian Ranger, termasuk Raptor Ranger untuk dieksport ke seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, satu impian yang sampai sudah hanya menjadi angan-angan oleh negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

Namun begitu, Thailand nampaknya runsing dengan Indonesia yang semakin berdaya saing di dalam dunia automotif.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi baru-baru ini telah menggunakan rundingan G7 (Group of Seven) yang berlangsung di Hiroshima bulan lalu untuk menjemput pemimpin-pemimpin dunia untuk datang ke negara beliau dan membuat pelaburan di dalam industri kenderaan elektrik (EV).

G7 ialah sebuah kumpulan tidak rasmi yang dianggotai oleh tujuh negara termaju dunia, termasuk Kanada, Perancis, Jerman, Italy, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.

 

 

Indonesia mahu menarik pelabur EV untuk hadir dan menggunakan kekayaan sumber mineral negara itu, lebih tepat lagi, galian nikel, dalam pembuatan bateri-bateri untuk EV.

Bateri ialah komponen paling besar dan paling utama di dalam penghasilan EV, dan selalunya, kilang pemasangan kenderaan EV akan terletak berhampiran dengan kilang bateri. Indonesia pula, dalam tahun 2020, membuat keputusan untuk melarang sebarang eksport galian nikel mentah bagi menarik pelabur untuk membina kilang di negara itu.

Buat masa sekarang, Volkswagen Group dan Ford Motor sudah mengumumkan akan memikirkan pelaburan mereka untuk mendirikan fasiliti pengeluaran nikel di Indonesia.

Hyundai Motor dan SAIC-GM-Wuling pula sudah membina kilang pengeluaran EV di Indonesia sejak tahun 2022 dan Tesla, jenama premium paling digeruni dalam EV, juga dikatakan sedang hampir selesai untuk menandatangi perjanjian membina fasiliti pengeluaran mereka di Indonesia.

LG Energy Solutions dari Korea pula sedang membina kilang bateri EV di sana bersama dengan Hyundai Motor dan bakal beroperasi menjelang 2024.

Syarikat bateri dunia CATL dari China tidak mahu ketinggalan dan berhasrat untuk membina kilang baharu, juga di Indonesia.

 

 

Selain dari menjaja bahan galian nikel mereka, kerajaan Indonesia turut memberikan insentif yang menarik untuk segmen EV.

Contohnya, Indonesia menurunkan kadar cukai untuk sesetengah EV dari 11 peratus kepada 1 peratus bermula April ini.

Indonesia juga mahu memberikan insentif kepada syarikat kenderaan yang memasang kenderaan EV secara tempatan dengan kandungan komponen tempatan setinggi 40 peratus.

Untuk Thailand, industri automotif mereka bermula sejak tahun 1960-an dan ia memberikan fokus yang lebih kepada pembangunan vendor-vendor komponen.

Ini berbeza dengan Malaysia yang mahu mengubah piramid itu dengan menghasilkan syarikat kereta dahulu, dan kemudian membangunkan vendor-vendor komponen.

Thailand bagaimanapun terus bangkit dan masih menjadi pengeksport komponen automotif terbesar ke Australia, Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara.

Kebergantungan Thailand kepada syarikat automotif Jepun bagaimanapun memberikan impak negatif sekarang kerana pengeluar kenderaan dari Jepun lambat untuk bangkit dalam segmen EV.

Ini menyebabkan Thailand juga terkena tempias dan memberikan peluang kepada Indonesia untuk bangun.

 

 

Tindakan lembab dari syarikat Jepun tidak memutuskan semangat Thailand, dan ia mengumumkan menjelang 2030, sebanyak 30 peratus atau lebih kenderaan yang dihasilkan di negara itu ialah kenderaan EV.

Februari lalu, Thailand melancarkan insentif-insentif seperti subsidi sehingga 150,000 Baht untuk pembelian kenderaan EV yang bakal dipasang di sana.

Cukai komoditi untuk kenderaan penumpang EV juga diturunkan dari 8 kepada 2 peratus sementara untuk trak pikap EV, cukai dikecualikan 100 peratus.

Polisi Thailand berkaitan EV dikatakan seimbang dari segi penjualan dan juga penghasilan dan ini menyebabkan ramai pemain EV turut hadir ke negara itu.

BYD telah mengumumkan ia akan membina kilang pemasangan EV di Rayong untuk pasaran Asean - kilang pertama jenama itu di luar China.

 

 

Thailand juga memperkenalkan strategi pelaburan 5-tahun yang memberikan pengecualian cukai untuk 10 ke 13 tahun bagi pembuatan kenderaan "fuel-cell".

Penghasil "biofuel" juga akan menerima pelepasan cukai dan ini diguna pakai oleh syarikat Toyota yang bekerjasama dengan syarikat Thailand untuk menghasilkan biogas dari najis-najis haiwan ternakan untuk mendapatkan hidrogen bagi kegunaan kenderaan fuel-cell.

Terbukti Thailand mahu bukan setakat EV, tetapi teknologi-teknologi tenaga baharu (new energy) bagi memastikan negaranya terus berada di hadapan.

Malaysia juga mempunyai insentif-insentif untuk EV tetapi ia merangkumi program-program jangkamasa pendek. 

Ini membuatkan pembeli-pembeli tempatan takut untuk membeli EV kerana cukai jalan yang terlalu tinggi berdasarkan kiraan semasa.

Sekiranya pembeli sendiri ketakutan, apatah lagi syarikat-syarikat yang diminta untuk membuat pelaburan beratus juta atau berbilion RM.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkongsian strategik ini menyediakan pentas bagi kesediaan NAZA Auto untuk menjadi pemain yang…
Berita Domestik
Meliputi tapak kawasan seluas lapan ekar, fasa pertama MCE Auto Hub ini akan menyaksikan pelaburan…
Berita Domestik
Ia hanya untuk pemilik individu dan bukan untuk kegunaan perdagangan seperti teksi, p-hailing dan…