Video yang dimuat naik oleh akaun X bernama "Terrapin Terpene Col" menunjukkan Model Y tersebut membelok keluar dari persimpangan terkenal di Austin, dengan tulisan “Robotaxi” pada pintunya. Tiada pemandu kelihatan, dan kenderaan itu nampaknya beroperasi sepenuhnya secara autonomi.
Video tersebut turut dikongsi semula oleh Ashok Elluswamy, Ketua Bahagian Autonomi dan AI Tesla, dengan komen ringkas: “Slowly slowly at first, then...”, seolah-olah mengesahkan bahawa kenderaan itu adalah prototaip Robotaxi rasmi dari Tesla.
Tesla sebelum ini telah menyatakan bahawa mereka akan melancarkan perkhidmatan Robotaxi tanpa pemandu manusia seawal Jun 2025. Laporan Bloomberg menyebut tarikh sasaran adalah 12 Jun, namun setakat ini masih tiada pengesahan rasmi daripada pihak Tesla.
Perkhidmatan ini digambarkan sebagai "unsupervised", di mana Model Y akan bergerak tanpa pemandu di dalamnya, tetapi tetap dipantau secara jarak jauh oleh operator. Elon Musk menyatakan, "Kami akan pantau tingkah laku kereta ini dengan teliti, dan bila keyakinan meningkat, pemantauan itu akan dikurangkan."

Robotaxi yang diperkenalkan kepada umum oleh Elon Musk pada acara Robotaxi Tesla nampaknya tidak sama yang dilihat di jalan raya.
Namun, pelancaran awal Robotaxi ini tidak seperti visi idealistik yang dipersembahkan dalam acara Robotaxi Tesla sebelum ini, yang mempamerkan rekaan dua pintu dan van untuk penumpang berkumpulan. Sebaliknya, Tesla akan mulakan dengan Model Y sedia ada dan pelancaran awal hanya melibatkan sekitar 10 hingga 12 unit sahaja.
Walaupun begitu, Elon Musk tetap yakin dengan potensi masa depan perkhidmatan ini. Beliau berkata kepada CNBC, “Jangkaan saya, menjelang akhir tahun depan, kita akan ada ratusan ribu mungkin lebih sejuta Tesla yang memandu sendiri di Amerika Syarikat.”
Ini mungkin permulaan sebenar kepada fasa baharu dalam mobiliti pintar dan pengangkutan tanpa pemandu yang telah lama dijanjikan Tesla.