Kebanyakan para peminat anjing sudah pasti faham akan kesukaran untuk membela dan membawa anjing peliharaan mereka ke mana sahaja yang mereka suka, memandangkan terdapat tempat-tempat yang dilarang khas kepada binatang peliharan.
Untuk membiarkan di dalam kenderaan pula, sistem pengaliran udara yang tidak berkesan akan mudah menyebabkan anjing kesayangan mengalami dehidrasi dengan lebih teruk.
Bagi memberikan ketenangan jiwa kepada para pencinta haiwan yang masih berperikemanusiaan ini, Tesla menerusi satu kemas kini memperkenalkan mod anjing baharu kepada sistem kawalan iklim kereta elektrik tersebut.
Apabila diaktifkan, sistem kawalan iklim kereta Tesla akan mengatur kembali suhu supaya ia mudah disesuaikan dengan binatang peliharaan yang ditinggalkan seketika di dalam kereta.
Manakala dalam masa yang sama, sistem multimedia pula akan memaparkan suhu semasa yang disekalikan dengan mesej "My owner will be back soon. Don't Worry".
Selain daripada Dog Mode, Tesla juga turut memperkenalkan Sentry Mode, sebuah tetapan keselamatan yang digunakan untuk membasmi kes kecurian kenderaan.
Sentry Mode ini akan menggunakan fungsi kamera keliling bagi memantau dan mengenal pasti kemungkinan ancaman yang bakal mendatangkan bahaya ketika kereta ditinggalkan.
Apabila kejadian tersebut terjadi, sistem akan menghantar notifikasi kepada para pemilik menerusi aplikasi mudah alih Tesla mereka.
Manakala rakaman yang diperoleh semasa mod ini diaktifkan akan digunakan sebagai bahan bukti, namun fungsi ini memerlukan para pemilik memasang storan USB untuk menyimpan segala bukti yang dirakam, sebelum mod tersebut diaktifkan.