
Pertama kali diperkenalkan di China pada Jun 2025, tidak sampai setahun kemudian model ini sudah pun tiba di Malaysia, selepas beberapa pasaran lain seperti Korea Selatan dan Australia. Kehadiran Tesla Model YL ini sememangnya antara yang paling dinanti peminat Tesla, khususnya mereka yang mahukan SUV EV lebih praktikal dengan konfigurasi enam tempat duduk.
Secara asasnya, Model YL merupakan versi lebih panjang dan lebih praktikal berbanding Tesla Model Y biasa, dengan fokus utama diberikan kepada ruang kabin, keselesaan penumpang dan keupayaan membawa lebih ramai ahli keluarga.

Spesifikasi Ringkas Tesla Model YL di Malaysia
Tesla Malaysia mengesahkan Model YL hadir dengan spesifikasi utama seperti berikut:
- Jarak perjalanan 681 km (WLTP)
- Pecutan 0-100 km/j dalam 5.0 saat
- Kelajuan maksimum 201 km/j
- Sistem pacuan All-Wheel Drive (Dual Motor)
- Suspensi Electronic Damping Adaptive Suspension
Berdasarkan maklumat yang dipaparkan ketika pelancaran, Model YL ditawarkan pada harga anggaran bermula RM 260,000, dengan jangkaan penghantaran pada suku kedua 2026 (Q2 2026).

Direka Untuk Mereka Yang Mahukan Tesla Lebih Praktikal
Apa yang membezakan Tesla Model YL dengan Model Y biasa adalah fokusnya terhadap kegunaan keluarga. Model ini hadir dengan jarak roda lebih panjang, sekali gus membolehkan ia memuatkan tiga baris tempat duduk dengan susun atur 2-2-2.
Tesla turut memperkenalkan pilihan warna baharu untuk model ini iaitu Cosmic Silver untuk warna luaran dan Zen Grey untuk warna dalaman.
Ini menjadikan Model YL bukan sekadar varian lebih panjang, tetapi juga model yang diberi identiti tersendiri dalam barisan Tesla.

Kabin 6 Tempat Duduk, Fokus Keselesaan Semua Baris
Salah satu tarikan utama Model YL sudah tentu pada bahagian dalaman, di mana Tesla memberi penekanan yang lebih serius terhadap keselesaan setiap penumpang, bukan hanya untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Untuk baris pertama, ia dilengkapi dengan power-adjustable thigh support, adjustable headrests serta fungsi ventilation dan heating.
Bagi baris kedua, Tesla membawakan konfigurasi captain seats, sesuatu yang memang akan menarik perhatian pembeli MPV dan SUV premium. Ciri yang ditawarkan termasuk powered armrests, one-touch folding serta fungsi ventilation dan heating.
Sementara itu, baris ketiga pula turut diberikan perhatian dengan ciri seperti power recline, one-touch folding dan climate control.

Ringkasnya, ini bukan sekadar “kerusi tambahan” seperti yang biasa dilihat pada SUV tujuh tempat duduk lain. Tesla jelas cuba meletakkan Model YL sebagai EV keluarga yang benar-benar usable untuk enam orang dewasa.
Ruang Simpanan Lebih Besar, Lebih Sesuai Untuk Keluarga
Selain ruang penumpang yang lebih luas, Tesla turut menekankan aspek praktikaliti pada Model YL.
Antara yang diumumkan termasuk tempat duduk yang boleh dilipat rata, integrated brake light, serta ruang kargo sehingga 2,539 liter jika kerusi baris kedua dan ketiga di baringkan.

Dengan kapasiti sebegini, Model YL jelas disasarkan kepada pengguna yang mahukan EV bukan sekadar untuk ulang-alik bandar, tetapi juga untuk perjalanan jauh bersama keluarga, bagasi, stroller, barangan beli-belah atau keperluan gaya hidup harian.
Reka Bentuk Baharu Untuk Aerodinamik Lebih Baik
Tesla turut menyatakan bahawa Model YL menerima beberapa penambahbaikan pada aspek rekaan luaran bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik yang lebih baik berbanding Tesla Model 3 dan Y.

Rim hadir dengan rekaan Mechina dengan saiz 19” rekaan ini hanya hadir pada Model YL saja yang melambangkan indentitinya.
Antaranya ialah extended roofline dan new rear spoiler.
Menurut Tesla, perubahan ini dibuat bagi membantu meningkatkan aerodynamic efficiency serta menambah downforce, yang secara tidak langsung menyumbang kepada kestabilan dan kecekapan tenaga pada kelajuan tinggi.
Secara visual, Model YL masih mengekalkan DNA rekaan Tesla yang minimalis dan moden, namun siluet sisi yang lebih panjang menjadikan ia kelihatan sedikit lebih premium berbanding Model Y standard.
Sistem Audio Lebih Premium
Tesla juga nampaknya tidak mengabaikan aspek hiburan dalam kabin. Model YL dilengkapi sistem audio yang lebih menyeluruh dengan center speaker, additional microphones untuk baris kedua dan ketiga, serta sistem bunyi 18+1 speakers Immersive Sound X.

Untuk sebuah SUV EV keluarga premium, ini memang satu nilai tambah yang besar, terutamanya untuk mereka yang kerap memandu jauh atau mahukan pengalaman kabin yang lebih mewah.
Tesla Malaysia Turut Umum Kelebihan Rangkaian Pengecasan Rentas Negara
Satu lagi perkara menarik yang diumumkan oleh Tesla Malaysia adalah kelebihan ekosistem pengecasan mereka yang kini merangkumi Malaysia, Singapura dan Thailand.
Ini bermakna pengguna Tesla di Malaysia tidak perlu terlalu risau sekiranya mahu melakukan perjalanan rentas sempadan ke negara jiran, kerana sokongan rangkaian pengecasan Tesla kini semakin matang di rantau ini.

Berdasarkan paparan semasa acara pelancaran, Tesla kini mempunyai:
- 18 Supercharging Stations
- 80 Supercharging Stalls
- 18 Destination Charging Stations
- 75 Destination Charging Stalls
Untuk pembeli EV, ini sebenarnya antara faktor paling penting kerana produk sahaja tidak cukup, ekosistem penggunaan harian juga mesti meyakinkan.
Tesla turut memaparkan kedudukan Model YL dalam keseluruhan rangkaian Model Y di Malaysia.
Setakat ini, barisan Model Y tempatan adalah seperti berikut:
- Model Y Premium Rear-Wheel Drive — 488 km, 0-100 km/j 5.9 saat, RM195,450
- Model Y Premium Long Range Rear-Wheel Drive — 691 km, 0-100 km/j 5.6 saat, RM216,450
- Model Y Premium Long Range All-Wheel Drive — 629 km, 0-100 km/j 4.3 saat, RM242,450
- Model YL Premium All-Wheel Drive — 681 km, 0-100 km/j 5.0 saat, RM260,000
Ini jelas menunjukkan Model YL diposisikan sebagai varian paling premium dan paling praktikal dalam keluarga Model Y.
Tesla Turut Turunkan Halangan Kemasukan Untuk Model 3
Menariknya, dalam acara sama Tesla Malaysia turut menonjolkan penawaran baharu untuk Tesla Model 3, termasuk varian lebih mampu milik.
Antaranya:
- Model 3 Rear-Wheel Drive — 534 km, RM 147,600
- Model 3 Premium Rear-Wheel Drive — 534 km, RM 169,000
- Model 3 Premium Long Range Rear-Wheel Drive — 750 km, RM185,000
- Model 3 Premium Long Range All-Wheel Drive — 715 km, RM199,000
- Model 3 Performance — 571 km, RM 229,000
Langkah ini menunjukkan Tesla Malaysia bukan sahaja mahu menarik pembeli EV premium, tetapi juga cuba membuka ruang kepada lebih ramai pembeli yang mahu masuk ke ekosistem Tesla pada harga lebih rendah.
Sudah Boleh Dilihat dan Dipandu Uji
Bermula hari ini, bakal pelanggan yang berminat dengan Tesla Model YL sudah boleh mengunjungi bilik pameran Tesla Malaysia untuk melihat model tersebut dengan lebih dekat, selain mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pandu uji.

Dengan kombinasi jarak perjalanan yang jauh, susun atur 6 tempat duduk, ruang kargo besar dan ekosistem pengecasan yang semakin kukuh, Tesla Model YL nampaknya hadir tepat pada waktunya untuk pembeli Malaysia yang mahukan EV keluarga yang lebih lengkap.