Menurut laman web configurator untuk Tesla Model S Plaid, kelajuan tertinggi untuk Plaid memerlukan spesifikasi tayar dan roda yang boleh didapati menjelang September ini.
Namun berdasarkan laporan daripada MotorTrend, Tesla sudah pun melengkapkan Model S Plaid dengan kelengkapan tayar dan rim yang sesuai untuk mencapai kelajuan tersebut.
Apa yang perlu hanyalah kemaskini terhadap perisian yang membolehkan Tesla Model S Plaid itu mencapai kelajuan tertinggi 322 km/j, di mana pada ketika ini Tesla Model S Plaid dihadkan kelajuannya kepada 262 km/j dengan tayar bersaiz 21 inci.
Selain daripada perisian, pembeli Model S Plaid perlu melengkapkan sedan itu dengan rim Arachnid bersaiz 21 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4S berharga $4,500 (RM18,630), di mana menurut Tesla, gandingan kedua-dua rim dan tayar itu telah pun disahkan selamat untuk mencapai kelajuan tertinggi itu.
Harus diingat, kemampuan Tesla Model S Plaid tidak terhenti setakat pecutan dan kelajuan tertinggi, memandangkan prestasi pecutan suku batu boleh diselesaikan dalam tempoh 9.23 saat pada kelajuan 249 km/j menjadikannya sama taraf dengan supercar lain seperti Bugatti Chiron, McLaren P1 dan juga Dodge Challenger Demon.
Dari kilang, Tesla telah mendatangkan Model S Plaid ini dengan tiga motor elektrik, satu untuk gandar hadapan dan dua lagi masing-masing untuk roda belakang dengan output setinggi 1,020 hp dan daya kilas 1,424 Nm.