Tesla Model 3 Dinobatkan Kereta Paling Selamat di Eropah untuk Tahun 2025

oleh Qalif Latif|
Pengkritik boleh terus mengecam Elon Musk, tapi realitinya Tesla Model 3 memang sebuah kereta yang hebat. Tesla Model 3 kini secara rasmi dinamakan sebagai kereta baharu paling selamat di Eropah untuk tahun 2025, menurut keputusan terkini Euro NCAP. Model ini mendapat markah tertinggi dalam keempat empat kategori keselamatan dan berjaya mengatasi pesaing seperti Volkswagen ID.7, Polestar 3 dan Geely EX5.

Keputusan ini mengukuhkan lagi kedudukan Tesla sebagai peneraju dalam aspek keselamatan kenderaan elektrik (EV), dengan Model 3 sudah pun memenuhi standard ujian baharu Euro NCAP yang lebih ketat.

Prestasi cemerlang dalam ujian pelanggaran dan teknologi bantuan kecemasan

Tesla Model 3 memperoleh markah tinggi merentasi semua kategori:

  • 90% perlindungan penumpang dewasa

  • 93% perlindungan kanak-kanak

  • 89% perlindungan pejalan kaki

  • 87% untuk ciri bantuan keselamatan

Sistem keselamatan Tesla, termasuk intelligent speed assistance, pengesanan kerusi kanak-kanak, dan rekaan hud mesra pejalan kaki juga menerima pujian tinggi. Sistem brek kecemasan automatik (autonomous emergency braking) pula menunjukkan prestasi luar biasa dalam situasi trafik kompleks seperti di persimpangan.

Sebaliknya, VW ID.7 gagal menyerlah dalam beberapa kategori ini, sekali gus menyerlahkan kelebihan teknologi Tesla. Euro NCAP turut menyatakan bahawa Model 3 telah pun mematuhi piawaian ujian 2025 yang lebih ketat berbanding pesaing lain yang masih belum sampai ke tahap itu.

Tesla kekal di hadapan walau dikritik atas penjenamaan “Autopilot”

Walaupun penguji memuji integrasi perkakasan dan perisian Tesla, Euro NCAP memberi amaran bahawa penjenamaan “Autopilot” Tesla boleh mengelirukan sesetengah pengguna. Ciri Full Self-Driving (FSD) Tesla, yang masih belum diluluskan di Eropah, juga dikhuatiri mencetuskan jangkaan palsu terhadap keupayaan autonomi sebenar, menurut laporan Chip.de.

Namun begitu, keputusan keseluruhan Model 3 meletakkannya di hadapan bukan sahaja ID.7, tetapi juga EV seperti Kia EV3 dan MG ZS yang gagal mendapat penarafan lima bintang. Secara keseluruhan, 14 daripada 20 model baharu yang diuji memperoleh markah tertinggi tetapi keunggulan Tesla menunjukkan komitmennya yang berterusan terhadap keselamatan sebagai asas penting dalam pembangunan EV.

Sumber EV.com : https://ev.com/news/tesla-model-3-named-safest-car-in-europe-for-2025?fbclid=IwY2xjawLljA9leHRuA2FlbQIxMABicmlkETFRV1NPdDRXSUoyUXZzYkx5AR5TomUoYZ1xtQiYv5VTaEk_L2hHJCeIC3d3KLS2i5PtzqWnQa_1S_cdsrP5hw_aem_LG9HnT7-iREjUS_DgF_IsQ

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Model 3 Standard Kini Ditawarkan Sebagai Varian Paling Mampu Milik Model 3 Standard disenaraikan…
Berita Global
Siasatan ini dibuat melalui satu defect petition yang memfokuskan kepada dakwaan bahawa pelepas…
Berita Domestik
Harga Baharu Tesla Model 3 Highland Menurut senarai rasmi Tesla Malaysia: Rear-Wheel Drive…