Tesla bakal buka kilang Megafactory di Shanghai

oleh Penyumbang Rencana|
Syarikat pembuat automobil dari Amerika Syarikat (AS), Tesla mengumumkan bahawa pihaknya akan membuka sebuah kilang Megafactory di Shanghai, China, mengkhususkan kepada penghasilan Megapack iaitu produk penyimpanan tenaga.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pembinaan kilang itu akan bermula pada suku ketiga tahun ini dan dijangka beroperasi pada suku kedua 2024, menurut Tesla pada majlis penandatanganan perjanjian di Shanghai, pada Ahad.

Kilang itu apabila siap kelak mampu menghasilkan sebanyak 10,000 Megapack setahun, bersamaan penyimpanan tenaga kira-kira 40 GWh. Produk yang dihasilkan di kilang itu akan dijual di seluruh dunia.

Megapack ialah bateri bersaiz besar yang boleh menyimpan tenaga, membantu stabilkan grid tenaga dan mencegah tenaga terputus.

Naib Ketua Setiausaha kerajaan bandar Shanghai, Zhuang Mudi bekata pada lima tahun yang lalu, projek Gigafactory Tesla di Shanghai telah menjadi tumpuan dunia, sekali gus menjadikan Shanghai sebagai kawasan penting bagi perkembangan industri kenderaan tenaga baharu (NEV).

"Kini, pemeteraian Megafactory di Shanghai pasti dapat menggalakkan perkembangan industri penyimpanan tenaga baharu dan transformasi ke arah karbon rendah," kata beliau.

Difahamkan, projek Megafactory merupakan projek pengeluaran Megapack pertama di luar AS.

Gigafactory Tesla di Shanghai telah menghasilkan 710,000 kereta pada 2022, menokok 48 peratus berbanding 2021.

Bernama