Teruja menang Toyota Alphard, rugi RM255,250.99

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Keterujaan seorang kerani wanita untuk memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard bertukar mimpi ngeri selepas ditipu sindiket penipuan peraduan.


Lebih malang lagi mangsa yang berusia 26 tahun terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM255,250.99 selepas melakukan 52 transaksi pemindahan wang ke dalam lapan akaun berasingan dalam tempoh dua minggu.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Wang yang diserahkan kepada suspek itu merupakan simpanan mangsa selain dipinjam daripada keluarga.

 

Mangsa yang enggan dikenali berkata, dia seakan-akan gelap mata selepas dimaklumkan memenangi hadiah bagi satu pera­duan dan mengikuti arahan diberikan suspek pada 17 April lalu.

 

“Pada awal tahun ini, saya ada me­nyertai peraduan di sebuah pasar raya, namun tidak me­nyangka dihubungi oleh scammer.

 

“Suspek memaklumkan saya bukan hanya memenangi wang RM3,300, malah Toyota Alphard sebagai hadiah,” katanya ketika ditemui.

 

Menurutnya, suspek yang mendakwa daripada syarikat pengeluar produk makanan dan minuman memintanya untuk membayar sejumlah wang sebagai syarat sekiranya mahu mendapatkan hadiah tersebut.

 

Kali terakhir wanita itu membuat pemindahan wang pada 7 Mei lalu. Dia yang curiga apabila suspek meminta lagi wang membuat laporan pada Isnin lalu.

 

“Keluarga berasa terkilan apabila dimaklumkan hal ini, namun mereka reda dan jadikan kes ini sebagai pengajaran,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan atau kiriman WhatsApp menyatakan memenangi peraduan dan meminta bayaran bagi menebus hadiah tersebut.

 

Orang ramai boleh membuat semakan melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi check scammers CCID di aplikasi Playstore.

 

Maklumat mengenai modus ope­randi jenayah komersial terkini boleh diketahui di laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (JSJKPDM).

 

 

 

 

-K! ONLINE