Terpedaya iklan jual Mitsubishi Pajero, pesara rugi lebih RM100,000

oleh Penyumbang Rencana|
Seorang pesara syarikat swasta kerugian RM142,300 setelah terpedaya dengan iklan jualan sebuah kenderaan pacuan empat roda melalui media sosial.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, lelaki berusia 55 tahun itu tertarik dengan iklan jualan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero di Facebook yang kononnya dilelong pihak bank dengan harga RM28,000 pada 13 Mei lepas.

Beliau berkata mangsa yang berminat dengan tawaran harga itu menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan membuat dua kali pindahan wang bagi tujuan deposit berjumlah RM6,450 serta pindahan ketiga bagi tujuan insurans sebanyak RM4,850 pada hari sama.

“Mangsa juga diminta membuat pembayaran bagi pelepasan pihak kastam dan lelaki itu melakukan 26 kali pindahan wang yang keseluruhan berjumlah RM131,000,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Datuk Mohd Khairi berkata mangsa dijanjikan wang yang telah dibayarnya menggunakan wang simpanan persaraan akan dipulangkan semula setelah urusan jual beli kenderaan tersebut selesai.

Namun katanya setelah didesak suspek untuk membuat pembayaran atas pelbagai alasan lagi, mangsa telah membuat laporan polis pada Khamis lepas (16 Mei).

Menurutnya orang ramai yang merasakan diperdaya dengan modus operandi penipuan boleh segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997.

 

Bernama