Terminal Titiwangsa jadi hab utama pengangkutan awam - Anthony Loke

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Transformasi menyeluruh bakal dilaksanakan di Terminal Titiwangsa untuk menjadikannya sebagai hab utama pengangkutan awam di Lembah Klang.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia selaras pembukaan penuh Transit Aliran Massa (MRT) 2, menjelang pertengahan Mac ini.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

 

Menurut beliau, perkara itu merupakan perancangan Kementerian Pengangkutan bersama pihak MRT Corp yang akan menawarkan tiga mod pengangkutan awam.

 

“Hari ini, kita mengadakan lawatan terhadap perkhidmatan MRT 2 dari Putrajaya Sentral hingga ke Kwasa Damansara, ini merupakan laluan penuh bagi MRT2, yang mempunyai 10 stesen pertukaran.

 

"Sepanjang MRT2, stesen pertukaran yang paling utama adalah Stesen Titiwangsa. Ketika ini sudah ada pertukaran dengan Monorail KL dan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Line. Maka dengan pembukaan MRT2 ini akan ada tiga mod iaitu MRT2, LRT dan Monorail KL.

 

"Pada masa hadapan MRT3 juga akan ada satu stesen selain stesen bas, jadi kawasan itu adalah hab pengangkutan awam," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke MRT 2 laluan Putrajaya di Depoh MRT Sungai Buloh di sini, pada Selasa.

 

Menurut Anthony, terminal dengan konsep model Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) juga akan dibangunkan di situ.

 

Dalam pada itu, katanya, antara stesen yang turut diberikan tumpuan sepanjang laluan MRT 2 adalah stesen Hospital Kuala Lumpur (HKL) ekoran kawasan itu sentiasa sesak termasuk membabitkan tempat letak kereta dan lalu lintas.

 

“Kita harap pembukaan MRT 2 dapat memudahkan para pesakit atau pelawat yang ingin pergi ke HKL. Selain itu, terdapat keistimewaan di sini iaitu satu-satunya stesen yang mempunyai kemudahan walkalator sepanjang 400 meter,” ujarnya.

 

Beliau berkata, status MRT 2 adalah 99.9 peratus siap ketika ini dan dijangka lengkap sepenuhnya pada Mac depan dengan kos pembinaan sebanyak RM30.53 bilion.

 

 

Astro Awani