Selain penumpang bas, orang ramai juga dilihat sudah mula mengunjungi TBG dengan lot kedai, termasuk premis makanan juga sudah mula beroperasi.
Terminal berkonsep pusat membeli-belah itu bukan saja memberi manfaat kepada pengguna perkhidmatan bas, malah penduduk setempat juga apabila mempunyai peluang pekerjaan dan tempat untuk bersiar-siar, membeli-belah dan makan.
Dalam pada itu, Pengasas Syarikat & Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Bersepadu Gombak Sdn Bhd (TEGAS), Datuk Seri Mohd Nadzlim Mohd Noor ketika ditemui berkata, operasi terminal menawarkan perkhidmatan menurunkan penumpang sahaja.
Katanya, TBG akan beroperasi sepenuhnya dengan perkhidmatan mengambil penumpang ke destinasi masing-masing pada 22 Mac ini.
Selain bas ekspres, TBG juga menghubungkan bas antara bandar dan diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak serta stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak yang pembinaannya sudah mencapai 79 peratus.
TBG turut menyediakan 1,200 tempat letak kereta selain 3,000 peluang pekerjaan yang bakal menjadi tulang belakang kepada pengoperasian terminal itu kelak.