Terbalikkan kereta bantu keluarkan murid tahun dua terhimpit

oleh Penyumbang Rencana|
foto Berita Harian
Seorang murid tahun dua retak pada bahagian belakang kepala selepas terbabit kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 11(1) di Putrajaya pada Khamis.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu sedang berjalan dari laluan pejalan kaki di sebelah Blok C Apartment Zon 6B untuk melintasi jalan P11J/1 menuju sekolah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, mengesahkan kejadian itu berdasarkan laporan diterima jam 4.45 petang.

"Siasatan mendapati, mangsa dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita di laluan utama.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya melalui kenyataan.

Terdahulu, orang awam yang berada di lokasi dikatakan membantu mengeluarkan mangsa dari bawah kenderaan dengan menterbalikkan kenderaan terbabit.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ismail Mustafa, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan, namun sebaik sampai mangsa sudah dikeluarkan orang awam.

Berita Harian