Tentera Darat henti terbang sementara pesawat Agusta A109 LOH

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Tentera Darat Malaysia (TDM) memutuskan untuk menghenti terbang sementara operasi beberapa pesawat jenis Agusta A109 LOH, sehingga siasatan mengenal pasti punca kemalangan yang berlaku pada Jumaat selesai.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata pihak TDM tidak mahu mengambil sebarang risiko demi keselamatan anggotanya, sebelum mengetahui faktor kejadian itu berlaku.

"Pengoperasian pesawat (Agusta A109 LOH) yang terdapat di Semenanjung dan Sabah akan henti terbang sementara untuk siasatan... pesawat itu memang digunakan untuk membuat latihan dan operasi.

"Untuk makluman pesawat itu sudah berusia anggaran 19 tahun dan kita memang akan pastikan setiap pesawat dalam keadaan terbaik sebelum menjalankan latihan dan operasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas acara perbarisan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66 di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri dekat Padang Besar pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Semalam, TDM mengesahkan sebuah pesawat M81-11 (Agusta A109 LOH) yang memabwa tiga anak kapal melakukan pendaratan kecemasan pada jam 1.35 pagi sehingga menyebabkan tiga anak kapal terdiri seorang jurulatih helikopter, penuntut kursus dan kru kuatermaster cedera.

Kejadian berlaku ketika sesi Latihan Penerbangan Malam Kursus Pegawai Asas Penerbangan Tentera Darat di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang di Johor.

Muhammad Hafizuddeain berkata, sebelum diterbangkan untuk latihan itu, ia dipastikan berada dalam keadaan selamat apabila proses penyelengaraan juga dilaksanakan secara berterusan daripada segi fizikal dan teknikal.

Dalam pada itu, beliau berkata, TDM masih meneruskan pencarian Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang ketika sedang bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak, pada 18 Jun.

"Hari ini adalah hari ke-11 pencarian TDM dalam operasi mencari dan menyelamat... bukan hanya dari teknikal dan profesional, kita juga mencari dengan cara tradisional.

"Sehingga hari ini kita sudah mendapat beberapa petunjuk keberadaan anggota itu di kawasan sekitar, namun kita tetap teruskan operasi pencarian dan saya menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan beliau ditemukan," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, helikopter berkenaan sepatutnya diterima oleh TDM pada Nov lepas, bagaimanapun susulan…
Berita Domestik
Menurut satu hantaran di media sosial rasmi Tentera Darat Malaysia, upacara penyerahan tersebut…