Tengku Zafrul - Tiada hasrat tamatkan sistem AP secara berperingkat

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kerajaan tidak berhasrat untuk menamatkan kelulusan sistem permit import (AP) kereta secara berperingkat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sistem itu masih berkuat kuasa walaupun kerajaan membenarkan Tesla Inc, pembuat kenderaan elektrik (EV) global, menjual kereta di negara ini tanpa peraturan AP biasa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Kami belum membincangkan ini lagi (memansuhkan sistem AP), (tiada) belum ada hasrat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pelabur dan Penjual Global Proton 2023 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sebelumnya, kerajaan mengumumkan bahawa Tesla menjadi pemohon pertama yang menerima kelulusan inisiatif BEV Global Leaders oleh MITI, yang bertujuan membantu meningkatkan permintaan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam pasaran tempatan dan seterusnya menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem bagi menyokong penggunaan BEV.

Tengku Zafrul berkata sistem AP akan tetap digunakan walaupun syarikat yang diluluskan itu adalah pengeluar kereta lain, asalkan ia membawa teknologi yang menguntungkan Malaysia.

"AP masih ada. Apa yang kami umumkan ialah kami mahu mereka (syarikat) membawa teknologi itu.

"Kami konsisten bukan sahaja kepada Tesla tetapi terhadap mana-mana pihak yang membawa nilai yang setara dengan tawaran Tesla, kami akan melayannya secara konsisten. Ia bukan semata-mata eksklusif kepada Tesla," jelas beliau lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Jumaat lepas berkata kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk akan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan mahir di negara ini.

Semasa pertemuan maya selama 25 minit mereka, Elon Musk telah bersetuju untuk membuat pelaburan yang besar di Malaysia termasuk menubuhkan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya serta menjalinkan kerjasama dengan kerajaan, melibatkan syarikatnya, SpaceX, perkhidmatan Internet satelit Starlink dan EV.

 

Bernama